syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Hazama menyifatkan pembabitannya dalam Teater Muzikal Mansur & Liu sebagai satu cabaran besar, terutamanya dari segi penguasaan watak dan gaya nyanyian.
Memegang watak sebagai Somdet Phra, Hazama, 42, atau nama sebenarnya Hazama Azmi memberitahu dia mengambil inisiatif sendiri melakukan penyelidikan mengenai logat serta bahasa Thai bagi menghidupkan karakter berkenaan.
“Saya tak perlu bercakap bahasa Siam sepenuhnya, sebab nanti penonton tak faham pula. Jadi, dialog utama tetap dalam bahasa Melayu tetapi ada diselitkan sedikit input bahasa Thai atas inisiatif dan usaha sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Hazama, cabaran utama teater muzikal ini terletak pada penyampaian dialog menerusi lagu yang menggunakan skala khas mengikut identiti watak.
“Teater ini susah kerana ia teater muzikal yang memerlukan dialog disampaikan dalam lagu. Lagunya bukan jenis pop biasa yang dimainkan di radio, melodinya tidak statik dan tidak berulang.
“Oleh kerana saya membawakan watak orang Siam, melodi nyanyian saya perlu mengikut skala muzik Siam yang agak sukar untuk dibawakan bersama lakonan,” katanya.
Dalam pada itu, Hazama turut meluahkan rasa kagum terhadap pengarah dan maestro muzik teater berkenaan, Datuk M Nasir yang dianggapnya sangat teliti dalam setiap perincian.
“Sebelum ini saya ingatkan Datuk M Nasir cuma menyanyi dan cipta lagu sahaja, rupanya dia sangat mahir dalam selok-belok pementasan. Dia amat teliti daripada segi mood lakonan, gaya badan, intonasi suara sehinggalah susunan nota muzik.
“Bila saya tersilap nota sikit sahaja sewaktu latihan, dia terus perasan. Pembabitan dalam teater ini membuatkan saya lebih mengenali kehebatan dan ketelitian Datuk M Nasir yang sangat peka dengan setiap perincian,” katanya.
Selain Hazama, teater muzikal itu turut dibintangi Aliff Aziz, Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Teater Muzikal Mansur & Liu dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
