am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Telatah Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin menggunakan dialek Hokkien bagi menyapa jemputan pelbagai kaum menarik perhatian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Dalam pesanan pembukaan persidangan berkenaan, Badruddin memaklumkan jemputan yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum adalah satu keluarga.
Antara individu hadir pada majlis pembukaan PAU yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
Selain perwakilan daripada Friends of BN (Barisan Nasional), wakil diplomatik dari pelbagai negara turut hadir dalam persidangan itu.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap mengumumkan kehadiran duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil diplomatik yang hadir sebagai tetamu pada persidangan berkenaan.
Antara wakil diplomatik itu dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Timor-Leste, Australia, China, Iran, Switzerland, Uzbekistan, Palestin, Yemen, United Kingdom (UK), Syria, Iraq dan Oman.
Dalam beberapa persidangan PAU terdahulu, Badruddin dilihat kerap bercakap menggunakan dialek Hokkien dalam pesanan bagi menyapa jemputan pelbagai kaum.
© New Straits Times Press (M) Bhd

