
ROM: Ketua delegasi Indonesia ke mesyuarat G20 di Itali disahkan positif Covid-19, manakala enam lagi sedang menjalani kuarantin, lapor agensi berita Itali semalam.
Diplomat itu, yang sepatutnya menghadiri mesyuarat menteri G20 di Sicily mulai semalam, disahkan negatif sebelum berlepas dari Indonesia, tetapi beliau didapati positif Covid-19 pada Isnin lalu.
Agensi berita ANSA dan AGI memetik pegawai kesihatan tempatan sebagai berkata, enam individu lain dalam delegasi itu dikuarantin di hotel mereka di Catania.
Mesyuarat G20 yang diadakan semalam dan hari ini menghimpunkan menteri sumber manusia, pekerjaan dan pendidikan dari kelab ekonomi maju serta baru muncul.
Itali pernah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, tetapi jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan dalam beberapa bulan ini berkurangan secara mendadak.
Oleh itu, ia membatalkan hampir semua sekatan, dengan pelitup muka tidak lagi wajib ketika orang ramai berada di luar rumah mulai 28 Jun ini.




