Pensyarah paling dicari

suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mengapa tidak? Itulah yang terlintas dalam fikiran Prof Dr Hazariah Mohd Noh apabila dihubungi Ketua Fakulti Aviation di Prince Sultan University (PSU), Arab Saudi yang memerlukan pensyarah wanita bagi mengajar kumpulan pertama pelajar wanita dalam bidang penerbangan.

Lebih bermakna, anak kelahiran Segamat, Johor ini tidak pernah memohon jawatan berkenaan, sebaliknya peluang itu datang ketika beliau sudah lama membina kerjaya akademik di Malaysia.

Bagi Dr Hazariah, tawaran itu membuka lembaran baharu untuk mencabar diri, berkongsi kepakaran dan membawa pengalaman yang dikumpulkan dalam bidang penerbangan, pendidikan, penyelidikan dan teknologi ke peringkat antarabangsa.

“Saya sebenarnya tidak pernah memohon jawatan itu. Saya dihubungi oleh Ketua Fakulti Aviation kerana mereka memerlukan pensyarah wanita untuk kampus wanita, khususnya bagi kumpulan pertama pelajar wanita yang mengikuti program dalam bidang itu.

“Ketika itu, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah, ‘mengapa tidak?

“Selain peluang kerjaya, Arab Saudi juga mempunyai tempat istimewa di hati saya termasuk ingin berada lebih dekat dengan Tanah Suci serta mendapat peluang menunaikan umrah dan haji, insya-Allah,” katanya.

Mempunyai latar belakang dalam bidang Aviation Maintenance Engineering, Aeronautics dan Aerospace, Dr Hazariah pernah menimba pengalaman belajar di Amerika Syarikat, Itali dan di Madrid, Sepanyol serta pernah bekerja di Malaysia Airlines serta Airbus Military (EADS CASA) di Madrid.

Dr Hazariah kemudiannya kembali ke Malaysia dan terbabit sebagai Principal Researcher dalam pembangunan teknologi angkasa sambil meneruskan kerjaya akademik di UniKL MIAT.

Sepanjang di UniKL MIAT, Dr Hazariah tidak sekadar mengajar tetapi turut terbabit dalam penyelenggaraan pesawat, penyelidikan, pembangunan pelajar serta hubungan dengan industri di Malaysia dan antarabangsa.

Pengalaman dalam penyelenggaraan badan dan enjin pesawat pula banyak mengajarnya mengenai kepentingan ketepatan, disiplin, pematuhan prosedur, keselamatan dan rasa tanggungjawab tinggi dalam bidang penerbangan.

Kini, pengalaman yang dibina di Malaysia itu dikongsikan pula kepada pelajar di Riyadh.

“Saya datang ke sini bukan dengan pengalaman saya seorang, tetapi membawa bersama pengalaman hampir 30 tahun yang dibina sejak mula belajar pada 1998, kemudian berkembang melalui industri, akademik, penyelidikan dan pengalaman antarabangsa.

“Bagi saya, ilmu tidak sepatutnya terhenti di sempadan negara. Apa yang kita pelajari dan pengalaman yang dikumpul boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa atau negara,” katanya.

Namun, penghijrahan ke Riyadh selepas begitu lama berada di Malaysia turut menuntut Dr Hazariah menyesuaikan diri dengan sistem akademik, budaya kerja, kaedah komunikasi dan rutin kehidupan yang baharu.

Bagaimanapun, kehadiran lebih 15 rakan sekerja dari Malaysia di PSU banyak membantu proses penyesuaian itu sehingga Dr Hazariah menganggap mereka bukan sekadar rakan, tetapi keluarga besar di universiti berkenaan.

Berkongsi kehidupannya di luar negara, Dr Hazariah berkata, berada jauh dari tanah air membuatkan makanan Malaysia, suasana bersama keluarga, perbualan dengan rakan dan rutin kehidupan seharian antara perkara yang paling dirinduinya.

“Apabila kita berada jauh, perkara-perkara kecil itulah yang paling kita rindukan.

“Rumah bukan sekadar tempat. Rumah ialah perasaan, keluarga, kenangan dan rasa kita diterima sebagai diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Dr Hazariah juga semakin menghargai kepelbagaian Malaysia termasuk masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya, bahasa dan latar belakang tetapi masih boleh hidup, belajar dan bekerja bersama .

“Semakin jauh dari Malaysia, saya semakin menghargai identiti dan kehidupan sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.

Perasaan bangga itu turut dirasainya apabila dijemput menjadi ‘speaker’ dalam sebuah forum antarabangsa di Riyadh bagi berkongsi pengalaman dan pandangan dalam bidang penerbangan serta teknologi terkini.

Lebih membanggakan, lebih 10 alumni yang pernah dibimbingnya kini turut bekerja dalam bidang penerbangan di Riyadh, membolehkannya terus berhubung dengan mereka untuk bertukar maklumat mengenai trend pekerjaan dan perkembangan industri.

Bagi Dr Hazariah, pengalaman berada di luar negara bukan sekadar mengenai pencapaian peribadi, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk memberi manfaat kepada orang lain dan negara.

Katanya, pengalaman antarabangsa yang diperoleh mahu terus dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan dan industri penerbangan Malaysia, selain membuka mata generasi muda bahawa peluang mereka tidak terhad kepada sempadan negara.

“Selepas melalui pengalaman belajar dan bekerja di beberapa negara, jarak yang jauh daripada Malaysia membuatkan saya semakin memahami makna ‘Tanah Tumpah Darahku’.

“Tanah air bukan sekadar tempat kita dilahirkan. Ia adalah tempat yang membentuk siapa kita, bahasa kita, budaya kita, nilai kita, keluarga kita dan kenangan kita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top