SHAH ALAM – UMNO perlu mengetepikan segala perbezaan dan rasa hati yang pernah berlaku bagi memastikan parti itu terus kukuh dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Afifi Aris berkata, seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya semua pimpinan dan ahli kembali memperkukuhkan ‘Rumah Bangsa’ perlu diberi perhatian serius.
Menurutnya, semua pihak yang pernah bersama parti di peringkat pusat, bahagian, wakil mahu pun cawangan perlu kembali bersatu dan mengutamakan kekuatan parti.
“Saya hormati ucapan Presiden yang sangat baik kerana menekankan pengukuhan Rumah Bangsa.
“Jom kita tolak ke tepi perbezaan ataupun rasa hati yang pernah kita lalui dan bersama-sama memperkukuhkan rumah bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian di platform TikTok sebagai mengulas ucapan dasar dan perasmian Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti berpandangan jauh yang mempunyai visi jangka panjang untuk Malaysia, bukannya parti yang sekadar mahu bertahan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.
Beliau turut menggesa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan segera sambil menyifatkan sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) mendapatkan mandat baharu untuk menerajui negara.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan institusi kehakiman dan institusi negara tidak akan dijadikan alat politik sekiranya BN kembali menerajui Putrajaya.
Mengulas lanjut, Mohd Afifi berkata, UMNO perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan memastikan kekuatan parti diperkukuhkan di semua peringkat.
“Kita bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya dan paling penting, kita perlu memperkukuhkan parti.
“Kita kukuhkan rumah bangsa kita dan pastikan kemenangan yang akan datang,” tambah beliau.