PEKAN – Kerajaan menghormati kedaulatan Indonesia dalam menguruskan kes 30 rakyat Malaysia yang ditahan di Pontianak, Kalimantan Barat kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Indonesia mempunyai undang-undang sendiri yang perlu dipatuhi oleh semua individu yang berada di negara berkenaan.
Menurutnya, sama ada individu terbabit merupakan rakyat Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara lain, mereka perlu diuruskan mengikut undang-undang negara berkenaan sekiranya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan.
“Tak kiralah rakyat dia atau rakyat negara kita atau mana-mana negara sekalipun, kalau ditahan sebagai tersangka (suspek) yang menyalahi undang-undang negara berkenaan, maka menjadi kewajipan negara berkenaan mengurus secara undang-undang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 2026 di Sekolah Kebangsaan Nenasi di sini pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan kerana disyaki terlibat aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat.
Penahanan tersebut dilakukan menerusi operasi bersama Polis Bandar Raya Pontianak di sebuah hotel kira-kira jam 11.15 pagi pada Selasa susulan risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.
Pihak polis negara itu turut merampas beberapa barangan dikaitkan dengan aktiviti yang disyaki untuk siasatan lanjut.
Jelas Saifuddin, pihak berkuasa Indonesia lazimnya akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan siasatan turut dijalankan dari sudut pandang Malaysia.
Menurutnya, kerjasama itu penting bagi mengenal pasti sama ada individu terbabit bergerak secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan satu sindiket penipuan yang lebih tersusun.
“Tujuannya untuk memberi ruang kepada kita melakukan siasatan dari sudut pandang kita untuk ‘establish’ sama ada mereka ini merupakan satu sindiket atau sebaliknya.
“Proses sama boleh berlaku sekiranya kita dimaklumkan terlebih dahulu atau PDRM sendiri meminta diberikan akses untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil maklumat itu nanti akan membolehkan PDRM menyusun rencana untuk tindakan selanjutnya.
Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan semakan daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM berhubung tindakan susulan terhadap kes berkenaan.
“Saya akan semak sama ada tindakan susulan telah diambil,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, siasatan tidak semestinya terhenti sekiranya sesuatu kesalahan dilakukan oleh rakyat negara ini di luar negara, malah pihak berkuasa boleh meneliti kemungkinan wujud kesalahan lain yang mempunyai kaitan dengan perbuatan tersebut.
Katanya, pendekatan sama turut digunakan terhadap warga asing yang melakukan kesalahan di negara ini di mana pihak berkuasa bukan sahaja melihat aspek kesalahan jenayah, malah turut menyemak kemungkinan wujud pelanggaran undang-undang imigresen dan lain-lain.
Sehubungan itu, perkembangan siasatan terhadap 30 rakyat Malaysia terbabit dijangka terus dipantau melalui kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia bagi mengenal pasti peranan serta kemungkinan penglibatan mereka dalam mana-mana sindiket penipuan dalam talian.