am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditangguhkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 semalam, bukan bermaksud ia ditolak.
Pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata sebaliknya permohonan berkenaan boleh dibawa semula untuk pertimbangan pada mesyuarat akan datang.
Wan Ahmad Fauzi berkata, penangguhan itu hanya bermaksud Lembaga Pengampunan belum bersedia membuat keputusan pada peringkat ini.
Beliau berkata, ia sama ada permohonan itu akan dibawa semula dalam masa terdekat atau selepas input tambahan diperoleh, termasuk keperluan mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara di bawah Perkara 42(9) perlembagaan.
Katanya, ada dua pilihan tersedia kepada Lembaga Pengampunan pada peringkat ini.
“Pertama, mengekalkan status quo iaitu tiada lega hukuman diperkenan dan baki hukuman diteruskan di Penjara Kajang dalam tempoh sebenar yang sudah ditetapkan.
“Kedua, lega hukuman diperkenan dalam bentuk tahanan rumah bagi sebahagian atau beberapa bahagian baki tempoh, atau dalam keadaan tertentu keseluruhan tempoh baki keputusan lembaga di bawah Perkara 42(1).
“Apa juga keputusan diambil, ia perlu dalam keadaan yang jelas,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata,jika kaedah tahanan rumah sudah diperuntukkan oleh undang-undang bertulis, pelaksanaannya hendaklah berdasarkan kepada peruntukan berkenaan.
Katanya, sebaliknya jika belum digubal , tatacaranya hendaklah ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika melaksanakan prerogatif itu,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Wan Ahmad Fauzi berkata, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri untuk memberi ampun, menunda atau meringankan (lega) hukuman seperti yang diberi pertimbangan oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Katanya, ketiga-tiganya mempunyai kesan berbeza.
“Ampun (pengampunan penuh) memadamkan sabitan itu sendiri. Ia menjadikan individu itu dianggap dari segi undang-undang seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan berkenaan, dengan kesan retroaktif yang membersihkan rekod sepenuhnya.
“Pengurangan pula memendekkan tempoh atau kadar hukuman tanpa memadamkan sabitan, seperti yang diperoleh bekas perdana menteri itu pada 2024.
“Ia apabila hukumannya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
