Anwar harap bertemu Mufti Besar India semasa lawatan ke Keralam

Keralam, India: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menanti-nantikan pertemuan dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad bersempena dengan lawatan beliau ke Keralam esok selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada mufti berkenaan yang mengalu-alukan kedatangan beliau dan delegasi Malaysia ke India.

“Terima kasih atas ucapan dan doa, Sheikh. Saya amat berharap dapat bertemu anda esok, insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Sheikh Abubakr Ahmad menyatakan penghargaan terhadap keputusan Perdana Menteri untuk memasukkan Jamia Markaz, satu daripada institusi Islam terkemuka di India, dalam jadual lawatan beliau.

“Komitmen beliau untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pendidikan dan hal ehwal agama mencerminkan visi bersama ke arah kemajuan intelektual dan kemasyarakatan.

“Semoga lawatan bersejarah dan dialog dua hala ini merintis laluan baharu yang dinamik dalam bidang pendidikan tinggi, pemerkasaan sosial dan kesalinghubungan kebudayaan antara Malaysia dan India, khususnya dalam mengeratkan hubungan dengan Keralam,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Selepas mengadakan lawatan ke Keralam, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Maldives pada 14 September.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top