Putrajaya: Lebih 1,500 peserta menyertai Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 (WOD 2026) di Taman Botani Putrajaya baru-baru ini, sekali gus mencerminkan komitmen industri sawit terhadap usaha pemuliharaan biodiversiti negara.
Program anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) itu dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Sambutan berkenaan menjadi antara usaha berterusan MPOGCF untuk memperkukuh reputasi industri sawit selain menonjolkan komitmen Malaysia dalam mencari keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti.
Antara acara utama ialah aktiviti Fun Walk sejauh 10 kilometer, lima kilometer dan tiga kilometer yang disertai lebih 1,500 peserta.
Semua kutipan yuran penyertaan akan disalurkan ke Tabung Konservasi MPOGCF bagi menyokong usaha pemuliharaan orang utan menerusi program Diplomasi Orang Utan atau OUDip.
Program itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LKTN), Institut Kemahiran Perladangan dan Komoditi (IMPAC) serta Sawit Kinabalu Sdn Bhd.
Turut menyokong program itu ialah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, OrangJuga dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi merangkap Pengerusi MPOGCF, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd; Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr Ramle Moslim serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Hasbollah Suparyono.
Sejak diperkenalkan pada 2023, Sambutan Hari Orang Utan Sedunia menjadi program andalan MPOGCF dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peranan orang utan sebagai spesies penunjuk kesihatan ekosistem.
Pada masa sama, program itu turut berusaha memupuk kefahaman mengenai kepentingan pembangunan lestari dalam industri sawit serta menghubungkan masyarakat dengan nilai pemuliharaan biodiversiti.
MPOGCF turut menyatakan sektor sawit mampan mampu menjadi rakan dalam usaha menjaga kelestarian alam, sekali gus memperkukuh komitmen nasional untuk melindungi biodiversiti negara.
Sambutan WOD 2026 turut mendapat tajaan Kuala Cola, Thomson Hospital, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Decathlon, Great Mateen, Lets Play dan Tourism Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd
