Sao Paulo: Bekas pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho menyertai gergasi Brazil, Santos, menurut pengumuman rakan sepasukannya, Neymar.
Bagaimanapun, Santos masih belum mengesahkan secara rasmi perpindahan pemain berusia 34 tahun itu.
Neymar menyambut kedatangan Coutinho menerusi media sosial dengan memuat naik video yang memaparkan bekas pemain antarabangsa Brazil itu bersama barisan pemain dan jurulatih Santos.
“Kami sangat gembira anda berada di sini.
“Skuad kami dan penyokong akan menyambut anda dengan tangan terbuka,” kata Neymar.
Coutinho kini berstatus tanpa kelab selepas meninggalkan Vasco da Gama pada Februari lalu dengan alasan mengalami keletihan mental.
Menurut laporan media tempatan, bekas pemain Barcelona dan Bayern Munich itu perlu menjalani pemeriksaan perubatan terlebih dahulu sebelum Santos mengesahkan kemasukannya.
Coutinho dijangka menandatangani kontrak sehingga penghujung musim ini.
Perpindahan ke Santos memberi peluang buat Coutinho menghidupkan semula kariernya selepas beberapa tahun bergelut mendapatkan prestasi terbaik sejak meninggalkan Liverpool pada 2018.
© New Straits Times Press (M) Bhd
