Jakarta: Sebuah kapal penumpang Indonesia yang membawa 243 orang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan di Laut Jawa awal Ahad ketika cuaca buruk, menurut agensi mencari dan menyelamat negara itu dalam satu kenyataan.
Kapal Virgo Transport 8 berlepas pada Sabtu dari bandar Surabaya, Jawa Timur menuju bandar Banjarmasin, Kalimantan Selatan sebelum terputus hubungan, kata agensi berkenaan.
“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, kapal itu tidak dapat dihubungi dan lokasinya tidak diketahui,” kata agensi itu.
Pasukan penyelamat sudah melancarkan operasi mencari dengan mengerahkan satu pasukan ke lokasi terakhir kapal itu diketahui, tambah agensi berkenaan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, sangat bergantung kepada feri sebagai kaedah pengangkutan utama, dengan laluan laut lebih murah dan mudah didapati berbanding perjalanan udara.
Bagaimanapun, piawaian keselamatan tidak sentiasa dikuatkuasakan dengan ketat, menyebabkan kadar kemalangan yang agak tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
