19 agensi, satu misi! NTF buktikan kekuatan CIMIC perkukuh pertahanan negara

19 agensi, satu misi! NTF buktikan kekuatan CIMIC perkukuh pertahanan negara

Apabila ancaman keselamatan memerlukan lebih daripada satu keupayaan, kekuatan setiap agensi perlu disatukan supaya tindakan di lapangan dapat digerakkan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Keperluan itu diterjemahkan menerusi penubuhan National Task Force (NTF) ketika pandemik COVID-19 bagi menyelaras kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah satu pusat kawalan menerusi Operasi Benteng (Op BENTENG).

Pendekatan tersebut bukan mengambil alih fungsi setiap agensi, sebaliknya menyusun kekuatan yang berbeza supaya maklumat, risikan, anggota dan aset dapat digerakkan mengikut keperluan operasi.

19 agensi, satu misi! NTF buktikan kekuatan CIMIC perkukuh pertahanan negara

“Op BENTENG ini diwujudkan semasa COVID-19 untuk kita mempertahankan negara, mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), sama ada melalui laut ataupun darat,” ujar Mejar Afiq Shahrir Azemi, Pegawai Staf 2 Operasi Darat, Markas Tentera Darat, dalam podcast Op BENTENG: Sinergi Ketahanan Negara, baru-baru ini.

Mejar Afiq berkata, Op BENTENG mula diwujudkan pada 2020 ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan kawalan pergerakan diperketatkan, termasuk di kawasan sempadan.

Katanya, ketika itu terdapat maklumat risikan mengenai pergerakan pendatang asing tanpa izin dari negara jiran, terutama apabila Malaysia dilihat mempunyai sistem pengurusan kesihatan dan kawalan yang lebih baik.

Dalam perkongsian itu, beliau turut menceritakan bagaimana pengurusan sempadan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Putrajaya, sebelum Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik sebagai agensi peneraju Op BENTENG dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain.

Menurut Mejar Afiq, sebelum Op BENTENG dilaksanakan, setiap agensi bergerak mengikut sektor dan rantaian pelaporan masing-masing.

Dalam perkongsian itu, beliau turut menceritakan bagaimana pengurusan sempadan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Putrajaya, sebelum Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik sebagai agensi peneraju Op BENTENG dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain.

Menurut Mejar Afiq, sebelum Op BENTENG dilaksanakan, setiap agensi bergerak mengikut sektor dan rantaian pelaporan masing-masing.

Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi BENTENG 2020-2022 sempena Pembubaran National Task Force di Wisma Pertahanan.

Apabila NTF diwujudkan, laporan daripada semua agensi dihimpunkan di satu pusat kawalan, sekali gus membolehkan gambaran keseluruhan mengenai keadaan di sempadan dilihat dengan lebih jelas.

“Kalau kita tengok sebelum Op BENTENG, setiap agensi ada sektor masing-masing, ada rantaian pelaporan masing-masing. Bila kita wujudkan satu pusat kawalan dan arahan ini, semua laporan kita bawa kepada satu pusat, jadi kita boleh nampak secara holistik apa yang berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata, penyelarasan itu tidak bermaksud semua agensi meninggalkan sektor atau fungsi masing-masing. Ada kawasan yang kekal di bawah tanggungjawab tentera, polis atau agensi maritim, tetapi operasi keseluruhannya diselaraskan dan dipantau di bawah satu arahan.

Daripada situ, anggota, aset, bahan api dan sumber lain boleh digerakkan semula mengikut keperluan sesuatu kawasan, sekali gus mengelakkan pertindihan dan memastikan sumber yang ada digunakan sebaik mungkin.

Hasilnya, sepanjang hampir dua tahun Op BENTENG dilaksanakan, sebanyak 23,894 PATI, 1,444 tekong dan 1,377 penyeludup ditahan, manakala nilai rampasan mencecah RM1.10 bilion.

“Secara keseluruhannya, kita berjaya menangkap lebih kurang 23,000 orang. Tetapi statistik ini dikongsi bersama, maksudnya semua agensi yang membuat tangkapan kita satukan. Kalau sebelum ini, contohnya ATM membuat tangkapan, ia hanya dimasukkan dalam statistik ATM sahaja. Tetapi bila kita kumpulkan semua statistik dalam satu, jumlahnya menjadi lebih banyak,” jelas beliau.

Antara kejayaan yang dikongsikan beliau ialah rampasan syabu bernilai kira-kira RM7.5 juta oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negara yang dipercayai untuk diseludup keluar.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa kegiatan penyeludupan di sempadan bukan hanya berkaitan kemasukan PATI atau dadah, malah melibatkan barangan seperti makanan asas dan sebagainya.

Statistik kejayaan Op BENTENG sehingga 25 September 2022.

Namun, cabaran yang dihadapi pasukan keselamatan turut berubah mengikut perkembangan teknologi.

Antara contohnya, Mejar Afiq berkongsi  tekong kini boleh menggunakan dron untuk membuat tinjauan sebelum sesuatu pergerakan dilakukan, termasuk mengenal pasti kawasan yang selamat dan kedudukan anggota keselamatan.

“Sekarang ini, teknologi itu bukan kita sahaja yang boleh guna. Tekong pun boleh guna. Mereka boleh hantar dron untuk tengok kawasan mana yang selamat, kawasan mana yang ada anggota, sebelum mereka buat pergerakan,”tambah beliau.

Bukan itu sahaja, media sosial turut dimanfaatkan untuk mengiklankan perkhidmatan membawa individu merentasi sempadan secara haram.

Beliau memberi contoh penggunaan TikTok bagi menawarkan perkhidmatan bot laju dari Port Dickson ke pulau-pulau di Indonesia, termasuk Sumatera, yang dikatakan boleh mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit.

Dalam menghadapi taktik sebegitu, Mejar Afiq melihat hubungan dengan komuniti setempat sebagai antara perkara yang tidak boleh diketepikan dan harus diberi penekanan yang lebih.

Katanya, apabila anggota memasuki sesuatu kawasan operasi, mereka turut mengambil pendekatan bertanya khabar dan bertemu pemimpin tempatan serta individu penting dalam komuniti untuk membina hubungan dan kepercayaan.

Hubungan itu membolehkan masyarakat berkongsi maklumat sekiranya terdapat pergerakan atau aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan maklumat daripada masyarakat tidak boleh diterima begitu sahaja kerana setiap maklumat perlu ditapis, diproses, dianalisis dan disahkan bersama risikan serta agensi lain.

Pada 20 Jun 2026, Markas 4 Divisyen telah melaksanakan Program Jiwa Murni PJM) Peringkat 4 Divisyen di Kampung Bunga Hilir, Sungai Kejar, Gerik, Perak.

Ini kerana tekong darat juga boleh datang daripada komuniti setempat, sekali gus memerlukan pasukan keselamatan berhati-hati dalam menilai setiap maklumat yang diterima.

Daripada pengalaman mengendalikan operasi melibatkan 19 agensi, Mejar Afiq turut melihat persefahaman memainkan peranan dalam memastikan kerjasama berjalan lancar.

Setiap agensi mempunyai istilah dan cara kerja tersendiri, justeru perbezaan itu perlu difahami supaya maklumat serta arahan dapat diterjemahkan dengan betul di lapangan. Baginya, ego mungkin wujud dalam mana-mana organisasi, namun perkara lebih penting ialah semua pihak memahami peranan masing-masing demi mencapai tujuan akhir iaitu menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Pengalaman sepanjang Op BENTENG juga, katanya, menolak tanggapan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sukar bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sepanjang operasi, pergerakan dan aktiviti antara kedua-dua agensi dapat diselaraskan dengan baik, malah struktur peneraju Op BENTENG turut melibatkan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai komander.

Sepanjang tempoh Op BENTENG, katanya, tiada anggota ATM yang ditahan atau didakwa atas kesalahan rasuah berkaitan kemasukan atau penyeludupan PATI.

Bagi beliau, pengalaman itu mengukuhkan pandangan bahawa pertahanan negara tidak boleh bergantung kepada ATM sahaja.

Sebaliknya, setiap agensi mempunyai keupayaan yang boleh disatukan, manakala penglibatan masyarakat, kerajaan dan industri pula melengkapkan ekosistem pertahanan negara.

Dalam melihat pertahanan sebagai satu ekosistem, Mejar Afiq turut menyentuh peranan Civil-Military Cooperation (CIMIC) yang menurutnya menjadi jambatan antara pihak awam dengan tentera.

Katanya, hubungan antara kedua-dua pihak penting kerana pasukan tentera tidak mungkin mampu melaksanakan semua perkara bersendirian, malah masyarakat dan pihak awam juga mempunyai peranan yang boleh menyokong usaha pertahanan negara.

Jelasnya, CIMIC bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong apabila anggota tentera turun ke kampung, sebaliknya turut merangkumi usaha membina hubungan dan kepercayaan dengan masyarakat.

Menurut Mejar Afiq, konsep CIMIC bukan perkara baharu di Malaysia kerana pendekatan itu telah berkembang sejak era Darurat menerusi Jiwa Murni, sebelum turut diperluaskan kepada aspek kawalan sempadan, pertahanan dan pembinaan negara.

Beliau melihat kefahaman mengenai konsep itu masih perlu diperluaskan, terutama supaya masyarakat lebih memahami bagaimana peranan mereka boleh menyumbang kepada kesiapsiagaan pertahanan negara.

Apabila ditanya apakah program yang ingin dilaksanakannya jika diberi peluang mengendalikan satu inisiatif CIMIC, Mejar Afiq memilih pendekatan kesedaran dan pendidikan masyarakat.

Katanya, pendekatan berkenaan lebih praktikal kerana boleh memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan mereka dalam pertahanan tanpa memerlukan kos sebesar penganjuran program berskala besar.

Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) 2025 yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan.

 

“Kalau kita nak buat esok, paling mudah kita boleh buat adalah melaksanakan satu program kesedaran bentuk ceramah, syarahan yang menjelaskan fungsi masyarakat terhadap apa yang mereka boleh sumbangkan bila kita sebut atau bincang tentang CIMIC itu sendiri.
“Road show ini kadang-kadang tak dihadiri oleh semua orang, kan? Kadang-kadang kalau kita buat program CIMIC pun, mungkin kita buat program tu.. dia (orang awam) akan datang masa konsert. Yang belajar-belajar (informasi penting) dia tak akan datang.
“Kita nak sebenarnya rakyat ini juga ada fungsinya sendiri dalam pertahanan, bukannya hanya bergantung kepada apa yang ATM ada. Sebab kalau hanya bergantung kepada ATM semata-mata, memang ATM tidak mampu untuk mempertahankan keseluruhan Malaysia ini dengan aset yang kita ada. Tetapi dengan gabungan sinergi yang diwujudkan dalam kalangan semua agensi dan orang awam membentuk satu ekosistem, kita mampu mempertahankan negara kita, insya-Allah.
“Pertahanan ini bukan hanya tentang kita menang lawan musuh. Pertahanan ini adalah satu ekosistem. Kita ada masyarakat, kerajaan, industri dan pasukan keselamatan. Semua ini adalah satu kepingan teka-teki yang saling melengkapi,” katanya.

Pendekatan itu selari dengan matlamat CIMIC untuk merapatkan hubungan antara tentera dan masyarakat, selain memperluaskan kefahaman awam terhadap peranan pertahanan yang selama ini sering dilihat dari sudut pasukan keselamatan semata-mata.

Dalam konteks lebih luas, pengalaman Op BENTENG turut memberikan gambaran bagaimana penyelarasan antara pelbagai agensi mampu memperkukuh keupayaan negara ketika berdepan ancaman, dengan setiap pihak membawa kekuatan dan kepakaran masing-masing.

Scroll to Top