SHAH ALAM – Pas dakwa janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sebagai lakonan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tambahan kerusi itu satu perkara yang baik dan praktikal tetapi memerlukan pindaan perlembagaan dengan dua pertiga suara majoriti di Parlimen.
“Sekali lagi PMX (merujuk kepada Perdana Menteri) tampil dengan lakonan bermutu tinggi apabila menjanjikan tambahan kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Maka tersenyum lebarlah kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak di sebelah kanan dan kiri PMX mendengar janji ini. Saya harap mereka berdua tidak mudah terpedaya.
“Tanpa rundingan untuk pertambahan juga di banyak lokasi di Semenanjung, adakah anda fikir ia akan lulus dengan mudah? Jika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengambil sikap tidak menyokong, adakah ia boleh lulus?,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ujarnya, kali terakhir persempadanan pilihan raya dibuat ialah pada tahun 2018, rundingan dan sesi libat urus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama pemegang-pemegang taruh bermula sejurus selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).
Katanya, bermula dari sempadan baru bahkan nama Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun dirunding pada masa itu dengan parti-parti yang terlibat.
“Adakah anda rasa janji untuk menambah kerusi parlimen ini boleh dilaksanakan sebelum PRU16 tanpa sebarang rundingan dibuat oleh SPR bersama pemegang-pemegang taruh? Ia bukan mudah dan bukan kerja sebulan dua.
“Pertambahan kerusi parlimen ini perlu, kita akui, tetapi ia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan di Semenanjung.
“Lebih kritikal lagi ialah di kerusi-kerusi negeri-negeri Pantai Timur atau ‘malay belt area’ yang mana ketika pertambahan kerusi untuk PRU 2004, negeri-negeri ini tidak menikmati pertambahan kerusi sebagaimana Pantai Barat,” katanya.
Beliau turut mendakwa perkara berkenaan merupakan janji manis namun tidak praktikal untuk masa sekarang.
Katanya, PRU16 akan berlaku dalam tempoh setahun sahaja lagi, Sabah Sarawak jangan mudah tertipu dengan lakonan tersebut.
“Tujuan sebenar janji ini ialah untuk memastikan Sabah Sarawak terus menyokong kerajaan Madani jika BN mengambil sikap untuk keluar dari kerajaan.
“Jika itu berlaku, kerajaan Madani boleh bertahan dengan majoriti tipis tetapi untuk meminda perlembagaan dan menambah kerusi parlimen, ia tidak akan berlaku jika tiada perundingan.
“Pas tiada masalah untuk setuju jika pertambahan kerusi ini adil untuk semua dan melalui perbincangan yang sepatutnya,” katanya.
Menurutnya tidak mahu Sabah Sarawak mengambil salah langkah selain mendakwa menyokong Kerajaan Madani pada hari ini boleh jadi mendapat untung sehari dua, tetapi tidak dalam jangka masa yang panjang.
“PMX akan jadi XPM tidak lama lagi Insya-ALLAH. Jangan biarkan dia bawa anda terjun gaung bersama-sama,” katanya.