mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Status empat pemain JDT, Bergson da Silva, Manuel Hidalgo, Shane Lowry dan Brad Tapp sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia menari perhatian penyokong tempatan, namun persoalan lebih besar kini tertumpu kepada kelayakan mereka untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Bergson, Hidalgo dan Lowry berstatus pemain naturalisasi manakala Tapp adalah pemain warisan, dengan keempat-empatnya kini disenaraikan sebagai pemain tempatan dalam saingan domestik.
Perkembangan itu bagaimanapun tidak secara automatik menjawab persoalan mengenai kelayakan mereka untuk beraksi bersama skuad kebangsaan kerana status pemain tempatan dalam Liga Malaysia dan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan tertakluk kepada kerangka peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas semakan terhadap platform pertukaran persatuan FIFA mendapati nama keempat-empat pemain berkenaan tidak muncul dalam senarai yang dirujuk sebagai rekod pertukaran persatuan.
Namun, ketiadaan nama dalam platform itu tidak wajar terus ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa mereka tidak layak beraksi untuk Malaysia kerana status pertukaran persatuan perlu dilihat bersama proses dan keputusan kelayakan FIFA.
Persoalan itu kini semakin menarik memandangkan kem latihan pusat Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dijadual bermula pada 21 September, iaitu sebelum saingan Piala ASEAN FIFA 2026 membuka tirainya empat hari kemudian.
Jika keempat-empat pemain itu berada dalam perancangan Cheng Hoe, status kelayakan mereka perlu diperjelaskan bagi mengelakkan sebarang persoalan ketika senarai akhir pemain kebangsaan diumumkan.
Perkembangan berkenaan juga hadir ketika FIFA mengemas kini panduan berkaitan kelayakan pemain untuk beraksi bersama pasukan perwakilan serta proses pertukaran persatuan, sekali gus menjadikan aspek kelayakan lebih penting untuk diteliti sebelum pemain dipanggil ke skuad kebangsaan.
Sementara Cheng Hoe berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa pemain yang beraksi pada Piala ASEAN 2026 pada bulan lalu bagi menguatkan lagi pasukan kelak.
“Mungkin ada beberapa pemain daripada skuad Piala ASEAN 2026 akan diserap nanti kerana kita lihat mereka menunjukkan perkembangan positif.
“Segala-galanya berpandukkan kepada prestasi terkini mereka dalam aksi liga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
