Lelaki ditikam di Pasar Borong KL

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera selepas ditikam individu tidak dikenali ketika sedang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Dalam kejadian 8.40 pagi, semalam itu, mangsa berusia 30-an ditikam secara tiba-tiba oleh individu tidak dikenali.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zulpa, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada rakan mangsa, 1.30 tengah hari tadi.

“Mangsa ditikam oleh seorang suspek tidak dikenali sewaktu sedang bekerja.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan punca kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif kejadian,” katanya.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top