ENZO Maresca membuka lembaran baharu bersama Manchester City dengan penuh bergaya apabila membimbing The Citizens menewaskan seteru sekota, Manchester United 1-0 di Old Trafford, awal pagi Isnin.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Phil Foden dilayangkan kad merah pada minit ke-23.
Namun, kekurangan seorang pemain tidak menghalang City daripada mengawal permainan, malah mereka lebih tersusun ketika berdepan tekanan United yang gagal memanfaatkan kelebihan angka.
Erling Haaland muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan, namun jaringan itu terlebih dahulu mencetuskan kontroversi sebelum disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Semakan mendapati Enzo Fernandez tidak mengganggu permainan ketika cuba menanduk bola sebelum ia sampai kepada Haaland, sekali gus mencetuskan kemarahan kem United.
Pertahanan United, Lisandro Martinez menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu ‘ketidakadilan’, namun prestasi keseluruhan City menyukarkan tuan rumah untuk mempertikaikan keputusan perlawanan.
Maresca percaya keputusan taktikalnya selepas City kehilangan Foden menjadi antara faktor utama kemenangan apabila beliau mengarahkan anak buahnya lebih bertahan dan menutup ruang serangan balas United.
“Saya fikir perlawanan menjadi lebih sukar untuk kami dengan 10 pemain, tetapi pada masa sama keadaan itu turut menyukarkan mereka.
“Mereka pasukan yang gemar melakukan transisi dan menggunakan ruang di belakang pertahanan. Dengan 10 pemain, kami hanya berundur dan menunggu mereka,” katanya.
Kejayaan itu melanjutkan rentak positif City selepas tewas 3-0 kepada Arsenal dalam Perisai Komuniti apabila mereka bangkit mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam saingan liga selain membuka kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Porto.
Gandingan baharu di bahagian tengah, Elliot Anderson dan Fernandez turut menyerlah, sekali gus memberi gambaran pembelian besar City mula membuahkan hasil.
Fernandez yang menyertai City dari Chelsea dengan nilai £125 juta (RM660 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan, menyamai rekod bayaran perpindahan EPL, manakala Anderson dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
“Mereka berdua pemain bertaraf tinggi. Saya tidak fikir wajar menilai pemain berdasarkan jumlah yang dibayar kelab kerana harga dalam pasaran kini semakin meningkat,” kata Maresca.