Pas persoal penangguhan pengampunan Najib, dakwa mungkin ada arahan atau bantahan

SHAH ALAM – Pas beranggapan penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tidak berlaku secara sendiri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia melainkan ada arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada ahli-ahli Lembaga Pengampunan atau pihak ketiga lain yang berkepentingan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara terbabit bagi memastikan isu berkepentingan awam itu dapat difahami.

“Pas beranggapan penangguhan permohonan Najib di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku dengan sendirinya melainkan terdapat arahan dan atau bantahan daripada mana-mana pihak, sama ada dalam kalangan ahli Lembaga Pengampunan atau pihak ketiga yang berkepentingan.

“Justeru, Pas menuntut pihak kerajaan dengan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam yang tidak wajar dihalang dari pengetahuan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, pandangan terbabit disuarakan berdasarkan kenyataan media BHEUU pada Jumaat lepas berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 yang dipengerusikan Sultan Ibrahim.

“Dalam kenyataan tersebut dinyatakan bahawa Seri Paduka Baginda berkenan supaya permohonan pengampunan mantan Perdana Menteri ditangguhkan ke suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan lain yang akan diadakan kelak,” ujarnya lagi.

Scroll to Top