Elaun RELA RM8 Sejam Bakal Disemak, KDN Mahu Kadar Lebih Munasabah

Bertugas lapan jam sehari selama 24 hari, namun jumlah elaun yang diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) masih belum mencecah kadar gaji minimum RM1,700 sebulan.

Dengan kadar semasa RM8 sejam, seorang anggota RELA yang menjalankan tugasan dalam tempoh berkenaan hanya menerima RM1,536, sekali gus mencetuskan keperluan supaya kadar elaun itu dinilai semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan meneruskan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memuktamadkan kadar elaun baharu berdasarkan jam tugasan anggota RELA.

“Kalau mereka bertugas lapan jam sehari, RM8 darab lapan ialah RM64. RM64 darab 24 hari, bawah daripada gaji minimum.

“Kalau mereka bertugas 12 jam, RM8 darab 12 ialah RM96. RM96 darab 24 hari, lebih sikit sahaja daripada kadar gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, perkara itu sudah dibangkitkan dalam perbincangan bajet bersama MOF bagi membolehkan kadar elaun berkenaan dinilai semula.

Malah, beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha KDN serta Timbalan Ketua Setiausaha supaya meneruskan rundingan berkenaan tanpa mengambil masa terlalu panjang.

“Mulakan, jangan ambil masa panjang, sebaik-baiknya tahun kewangan yang terdekat ini laksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, kadar baharu yang bakal diterima anggota RELA masih belum dimuktamadkan.

Saifuddin berkata, kadar berkenaan perlu ditentukan dalam julat yang munasabah mengambil kira kadar semasa serta tempoh anggota RELA menjalankan tugasan.

KREDIT GAMBAR: MEDIA MULIA


Scroll to Top