razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menasihatkan rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda berdua bertitah bahawa kualiti udara yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pelbagai masalah, khususnya berkaitan sistem pernafasan.
“Justeru rakyat, khususnya warga emas, kanak-kanak, golongan yang mempunyai masalah pernafasan serta individu yang bekerja di luar, dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada kesan buruk pencemaran udara,” titahnya.
Baginda berdua turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar, terutama ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
“Selain itu, rakyat juga disaran supaya minum air secukupnya, sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi serta mengikuti perkembangan bacaan IPU harian bagi memastikan kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga sentiasa terpelihara,” titahnya.
Baginda berdua turut berharap agar seluruh rakyat sentiasa mengutamakan kesihatan dan mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi keadaan jerebu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
