206 bot berhias warnai Sungai Kerang sempena Hari Malaysia

206 bot berhias warnai Sungai Kerang sempena Hari Malaysia

BUKIT GANTANG – Suasana Jeti Sungai Kerang bertukar menjadi lautan warna-warni apabila 206 bot berhias memenuhi jeti dan perairan di kawasan itu sempena Pertandingan Bot Berhias Hari Malaysia 2026 peringkat Parlimen Bukit Gantang di sini pada Rabu.

Seawal pagi, ratusan peserta yang terdiri daripada nelayan tempatan bersama keluarga masing-masing sudah berada di jeti bagi menghias bot dengan pelbagai tema patriotik, daripada Jalur Gemilang hinggalah konsep tradisional dan pahlawan Melayu.

Bagi kebanyakan peserta, penyertaan bukan sekadar mengejar hadiah, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka sekeluarga turun ke laut dalam suasana berbeza sambil meraikan semangat Hari Malaysia.

206 bot berhias warnai Sungai Kerang sempena Hari Malaysia

Pengalaman unik menghias bot sambil meraikan semangat perpaduan.

Penganjuran memasuki siri kelima itu menyediakan hadiah terkumpul berjumlah RM57,550 dengan penjurian dilakukan di DSH Kelong.

Seorang peserta, Mohamad Tahir Wahab, 34, berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan tersebut selepas terdorong oleh semangat kemerdekaan dan melihat rakan-rakan nelayan lain turut serta pada tahun-tahun sebelum ini.

“Ini pertama kali saya masuk. Tahun lepas saya tengok kawan-kawan hias bot, jadi tahun ini saya cuba sendiri. Konsep saya pahlawan Melayu. Habis lebih kurang RM150 juga untuk hias bot,” katanya yang hadir bersama isteri dan dua anaknya masing-masing berusia berusia 9 dan satu tahun.

Mohamad Tahir tampil sedondon bersama ahli keluarganya membelanjakan lebih RM150 untuk menghias botnya dengan konsep pahlawan Melayu.

Mohamad Tahir tampil sedondon bersama ahli keluarganya membelanjakan lebih RM150 untuk menghias botnya dengan konsep pahlawan Melayu.

Katanya, peluang membawa anak-anak menaiki bot dan melihat suasana pertandingan memberi pengalaman berharga, lebih-lebih lagi apabila anak-anaknya begitu teruja menikmati suasana di laut.

Bagi nelayan Sungai Kerang, Lim Chai Beng, 56, pula, penyertaan kali kedua itu menjadi detik bermakna apabila seluruh ahli keluarganya turut serta bagi merasai pengalaman unik menghias bot sambil meraikan semangat perpaduan.

“Anak-anak bangun awal pagi, pakai baju Melayu dan baju kurung. Ini pengalaman yang mereka tak selalu dapat. Saya sudah lebih 15 tahun jadi nelayan di sini, jadi acara macam ini buat kami rasa lebih dekat antara satu sama lain,” katanya.

Syed Abu Hussin dalam sidang akhbar pada Rabu.

Syed Abu Hussin dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penyertaan yang meningkat kepada 206 bot berbanding 130 sebelum ini membuktikan sambutan semakin menggalakkan dalam kalangan komuniti nelayan.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menghargai jasa nelayan yang menjadi tulang belakang sumber protein negara, tetapi turut memperkukuh semangat kenegaraan serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

“Nelayan ini sering dilupakan walaupun mereka bekerja tidak mengira masa, sama ada musim tengkujuh atau tidak. Jadi program ini kita buat setiap tahun untuk meraikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keunikan pertandingan itu turut terserlah apabila turut disertai nelayan bukan Melayu termasuk komuniti Cina yang bersama-sama menghias bot, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Penganjuran itu turut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan khususnya sektor agropelancongan di Trong.

Penganjuran itu turut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan khususnya sektor agropelancongan di Trong.

Katanya, selain aspek penghargaan, penganjuran itu turut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan khususnya sektor agropelancongan di Trong yang semakin berkembang dengan kewujudan hampir 20 kelong serta aktiviti memancing yang menjadi tarikan pengunjung luar.

“Bila orang datang memancing, mereka sewa kelong, tinggal di homestay, makan di restoran dan beli hasil laut. Semua ini memberi kesan ekonomi berganda kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan konsep jualan terapung pada masa akan datang sebagai nilai tambah kepada produk pelancongan di kawasan tersebut.

“Kita turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pertandingan bot berhias yang membawa tema perarakan bendera sempena Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

 

Scroll to Top