Keretapi Sarong ‘sampai’ Perlis, perjalanan angkat budaya Malaysia

Keretapi Sarong ‘sampai’ Perlis, perjalanan angkat budaya Malaysia

PADANG BESAR: Program Keretapi Sarong Padang Besar 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di negeri ini mendapat sambutan cukup hebat, dengan orang ramai segak mengenakan pakaian tradisional.

Program inisiatif tahunan Locco Malaysia yang dikendalikan Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) itu bermula dengan lebih 1,000 peserta pelbagai lapisan umur dan kaum menaiki keretapi dari stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Arau ke Padang Besar yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan.

Program dirasmikan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah itu memberi pengalaman unik kepada orang ramai menghayati warisan budaya Malaysia dalam suasana moden.

Presiden Trooper, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, program Keretapi Sarong Padang Besar 2026 menjadi catatan penting apabila buat pertama kalinya dilaksanakan di Perlis.

Keretapi Sarong ‘sampai’ Perlis, perjalanan angkat budaya Malaysia
KU Hasrin Ku Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama para peserta Keretapi Sarong Padang Besar 2026 di Padang Besar, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD HAFIZ ABD. MUTALIB

Katanya, dalam menjayakan program itu, Trooper memberikan tumpuan khusus kepada Padang Besar, selaras dengan potensi kawasan berkenaan sebagai lokasi sempadan strategik yang menjadi pintu masuk utama serta hab logistik penting antara Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata, melalui inisiatif tersebut, Trooper bukan sahaja mempromosikan aktiviti kebudayaan, malah memperkenalkan keunikan produk pelancongan sempadan dan ekopelancongan di Padang Besar bagi menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa yang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Program Keretapi Sarong merupakan inisiatif tahunan yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia. Diperkenalkan semula pada tahun 2017, program yang bermula daripada sebuah acara flash mob budaya tersebut, kini telah berkembang menjadi satu gerakan kebudayaan besar yang mendapat sambutan luar biasa di seluruh negara.

“Program Keretapi Sarong juga sudah memasuki edisi ke-10 pada tahun ini. Para peserta akan menaiki pengangkutan awam bersama-sama sambil mengenakan pakaian tradisional dan kain sarung yang melambangkan identiti bangsa.

“Selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai amalan yang lestari dan mesra alam, program ini turut memberi pengalaman unik kepada peserta untuk menghayati warisan budaya Malaysia dalam suasana moden,” katanya.

Ku Hasrin berkata, program berkenaan turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan strategik khususnya Railway Assets Corporation (RAC) dan KTMB yang bersama-sama membantu menjayakan acara yang berkonsepkan perjalanan kereta api sambil mengangkat elemen budaya dan komuniti setempat.

“Diharapkan penganjuran tersebut bukan sahaja menjadi satu acara yang meriah tetapi meninggalkan kenangan bermakna serta menyemarakkan semangat perpaduan, kecintaan terhadap budaya dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai rekod, Trooper merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif dan konsisten dalam merancang serta melaksanakan program-program promosi bagi sektor pelancongan, ekopelancongan dan aktiviti rekreasi di seluruh Perlis dan negara jiran melibatkan Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Sebagai sebuah entiti penting dalam industri pelancongan tempatan, Trooper juga bertindak sebagai jambatan penghubung antara komuniti, pemain industri dan pihak berkuasa bagi memastikan potensi pelancongan negeri dapat dioptimumkan sepenuhnya.-UTUSAN

Scroll to Top