Terjemahan sebenar 'Sayang Malaysia'

Kuala Lumpur: Saya melihat tren-tren itu hampir setiap hari.

Ia melintasi kawasan berhampiran rumah saya, mengiringi sebahagian perjalanan saya ke pejabat dan membawa ribuan orang merentasi bandar dengan tenang.

Mungkin timbul sedikit rasa “Sayang Malaysia” dalam diri saya setiap kali melihat infrastruktur yang memastikan ekonomi terus bergerak.

Kemudian, saya sedar bahawa ribuan orang lain telah melangkah lebih jauh daripada sekadar merasai atau membayangkan rasa sayang terhadap Malaysia.

Mereka menzahirkannya secara nyata.

Dengan menggayakan kain sarung, batik dan pakaian tradisional, rakyat Malaysia mengubah stesen serta gerabak tren yang biasa menjadi ruang pameran budaya bergerak menerusi acara “Keretapi Sarong 2026”, sekali gus meningkatkan keterlihatan tekstil tempatan, perniagaan kreatif dan daya tarikan pelancongan Malaysia.

Edisi tahun ini turut memperkenalkan lagu “Joget Sarong” sebagai lagu tema rasmi, serta mengangkat tema “Sayang Malaysia” bagi mencerminkan semangat patriotisme dan kebanggaan terhadap negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Keretapi Sarong menunjukkan bagaimana penglibatan dalam budaya mampu menjana aktiviti ekonomi tanpa menghilangkan nilai sosialnya.

“Apa yang kita lihat di sini bukan sekadar perhimpunan budaya. Terdapat rantaian ekonomi yang terjalin di sekelilingnya, melibatkan sektor pengangkutan, tekstil tempatan, makanan, peniaga kecil, pereka bentuk dan aktiviti berkaitan pelancongan.

“Perkara yang menarik ialah budaya itu sendiri menjadi satu bentuk penglibatan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, apabila orang ramai memilih untuk memakai fabrik tempatan, berbelanja untuk produk tempata atau bergerak menyertai acara sebegini, mereka sebenarnya menggerakkan aliran wang dalam ekonomi domestik serta memperkukuh permintaan terhadap barangan buatan Malaysia.

“Bagi pengguna golongan muda, perkara ini juga penting kerana produk tradisional diperkenalkan semula dengan gaya yang lebih kontemporari dan relevan dengan masa kini, bukannya sekadar bersifat upacara semata-mata.

“Ini membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk melakukan inovasi berasaskan warisan dan bukannya menganggap warisan sebagai sesuatu yang statik,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut pelancongan, acara sebegini turut memberikan nilai tambah memandangkan pengunjung kini semakin cenderung mencari pengalaman yang bersifat tempatan dan tulen.

“Justeru, sumbangan ekonominya bukan sekadar tertumpu pada jumlah perbelanjaan pada hari acara tersebut berlangsung. Ia juga merangkumi aspek keterlihatan, permintaan berulang, serta nilai lebih luas yang dikaitkan dengan identiti budaya Malaysia,” kata Mohd Afzanizam.

Tahun ini, perkara yang paling menarik perhatian penulis sebagai wartawan yang memerhatikan acara tersebut ialah betapa semulajadinya semangat “Sayang Malaysia” itu terserlah di sekeliling penulis.

Sekitar penulis, Melayu, Cina, dan India, hadir dengan pelbagai warna dan gaya; ada yang mengenakan kain sarung dan batik, manakala yang lain memakai pakaian tradisional kaum masing-masing.

Pelancong asing turut serta menyaksikan, merakam gambar, dan menyelami suasana tersebut, sekali gus menjadikan stesen serta tren sebagai gambaran hidup kepelbagaian budaya Malaysia.

Di situlah penulis dapat merasakan bahawa semangat “Sayang Malaysia” bukan sekadar kepada slogan atau lagu tema semata-mata.

Ia dapat dilihat menerusi pilihan pakaian orang ramai, sokongan terhadap produk tempatan, perkongsian kemudahan pengangkutan awam serta berkongsi ruang yang sama dengan orang yang kita tidak kenal, menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih bermakna berbanding sekadar melakukan perjalanan biasa menggunakan tren.

Dalam erti kata lain, acara Keretapi Sarong bukan sekadar satu sambutan warisan.

Ia juga menjadi peringatan bahawa rasa sayang terhadap negara boleh dizahirkan melalui pilihan harian, apa yang dipakai, apa yang dibeli, ke mana destinasi perjalanan, dan bagaimana seseorang itu melibatkan diri dalam ekonomi sekelilingnya.

Selama satu hari, “Sayang Malaysia” bukan sekadar satu tema.

Ia benar-benar dirasai, dikongsi dan dihayati sepanjang acara berlangsung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top