SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Setiausaha Agung Pas, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan yang membayangkan Dr Zakir Naik mungkin menjadi ‘korban politik’ dalam rundingan antara Malaysia dan India.
Exco AMK, Ashraf Hadi berkata, kenyataan Takiyuddin itu dilihat mendahului fakta dan disifatkan sebagai ‘lebih sudu daripada kuah’.
Beliau berkata, perbincangan diplomatik tidak semestinya bermaksud wujud persetujuan ekstradisi, manakala permintaan daripada sesebuah negara juga tidak bermakna Malaysia telah menerimanya.
Takiyuddin sebelum ini meminta kerajaan memperjelaskan status perundangan dan diplomatik berhubung permintaan ekstradisi Zakir Naik, termasuk perkara yang dibincangkan serta sama ada wujud sebarang persefahaman atau komitmen politik.
Beliau berkata, sebarang permintaan ekstradisi yang sah perlu dipertimbangkan berdasarkan undang-undang dan bukannya dijadikan bahan tawar-menawar politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan kepada media India bahawa isu ekstradisi berkenaan dibincangkan bersama pihak India secara tertutup.
Anwar berkata, sebarang tindakan perlu dilakukan secara berhati-hati dengan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta kepentingan hubungan dua hala Malaysia-India.
Menurut Ashraf, Pas telah mensensasikan laporan media India tanpa mengemukakan bukti bahawa Anwar bersetuju untuk menyerahkan Zakir Naik kepada India.
Beliau turut meminta Takiyuddin mengemukakan bukti sekiranya kerajaan benar-benar telah memberikan komitmen untuk menyerahkan Zakir Naik.
Katanya, Zakir Naik belum menjadi ‘korban politik’, sebaliknya prinsip tabayyun dan fakta tidak seharusnya diketepikan dalam membincangkan isu berkenaan.