saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukan pertama kali dalam sejarah Formula Satu (F1), sebuah perlumbaan Grand Prix (GP) membawa nama sesebuah negara berlangsung di negara lain sepertimana Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjadi venue kepada GP Bahrain, Oktober ini.
Situasi itu pernah berlaku sebelum ini menerusi beberapa perlumbaan dalam sejarah F1, antaranya GP San Marino di Imola, Itali, GP Switzerland di Dijon, Perancis dan GP Luxembourg di Nurburgring, Jerman.
Bagi GP Bahrain 2026, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Sepang akan menjadi tuan rumah Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober ini, sekali gus menampilkan nama Bahrain pada perlumbaan yang berlangsung di bumi Malaysia.
Namun, contoh paling lama dan terkenal ialah GP San Marino, yang berlangsung di Imola dari 1981 hingga 2006 walaupun litar berkenaan terletak di Itali dan bukan di wilayah Republik San Marino.
Imola sebelum itu menjadi venue GP Itali pada 1980 apabila Monza menjalani kerja naik taraf, tetapi perlumbaan kembali ke Monza pada 1981.
Bagi membolehkan Imola kekal dalam kalendar F1, perlumbaan di situ kemudian menggunakan nama GP San Marino selepas Automobile Club San Marino mengemukakan permohonan kepada pihak F1. Cadangan itu diterima FIA walaupun San Marino sendiri tidak mempunyai litar perlumbaan yang sesuai untuk F1.
Situasi hampir sama berlaku pada GP Switzerland 1982, apabila perlumbaan berstatus Kejohanan Dunia itu berlangsung di litar Dijon-Prenois, Perancis, bukannya di Switzerland.
Puncanya lebih jelas apabila Switzerland ketika itu masih melaksanakan larangan perlumbaan litar susulan tragedi Le Mans 1955 atas faktor keselamatan. Larangan berkenaan menyebabkan perlumbaan F1 tidak boleh dianjurkan di bumi Switzerland, lalu Dijon menjadi lokasi alternatif.
Dijon sebenarnya pernah menganjurkan perlumbaan GP Switzerland bukan berstatus Kejohanan Dunia pada 1975 sebelum kembali menjadi venue GP Switzerland yang mengira mata Kejohanan Dunia pada 1982, yang dimenangi Keke Rosberg.
Sementara itu, GP Luxembourg 1997 dan 1998 pula berlangsung di Nurburgring, Jerman, kerana Jerman sudah mempunyai GP sendiri di Hockenheimring pada kedua-dua musim berkenaan.
Justeru, nama Luxembourg digunakan bagi memberikan identiti berbeza kepada perlumbaan di Nurburgring, sekali gus membolehkan Jerman mempunyai satu lagi perlumbaan F1 tanpa menggunakan nama GP Jerman. Nurburgring sebelum itu menganjurkan European GP pada 1995 dan 1996.
Namun, situasi di Sepang pada Oktober ini mempunyai konteks berbeza apabila litar berkenaan dipilih sebagai venue alternatif bagi GP Bahrain 2026.
Ia bagi memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
