Penerbit Daily Mirror, Daily Express kurangkan 220 jawatan editorial susulan peralihan AI

ISTANBUL – Penerbit akhbar Britain, Reach, yang memiliki Daily Mirror dan Daily Express akan mengurangkan 220 jawatan editorial sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi beritanya, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

The Independent pada Rabu melaporkan syarikat itu turut akan mewujudkan 60 jawatan baharu yang memberi tumpuan kepada beberapa bidang termasuk langganan dan video berdurasi lebih panjang, manakala kira-kira 65 jawatan dalam bahagian komersialnya juga dijangka dikurangkan.

Ketua Pegawai Kandungan Reach, David Higgerson dalam e-mel dalaman kepada kakitangan berkata, syarikat itu terjejas akibat penurunan trafik rujukan daripada carian Google serta persaingan yang semakin meningkat daripada BBC, menurut laporan itu.

Penerbit berkenaan turut akan menutup tiga laman berita serantau — KentLive, AberdeenLive dan GalwayBeo — sebagai sebahagian daripada perubahan itu.

Pengurangan itu akan menjejaskan wartawan dalam operasi media cetak, digital dan video, dengan Reach memulakan proses rundingan sekurang-kurangnya 45 hari dengan pekerja.

Reach, antara penerbit berita komersial terbesar di Britain, turut memiliki beberapa penerbitan termasuk Daily Star, Manchester Evening News dan Liverpool Echo.

Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pengurangan tenaga kerja ketika industri akhbar tradisional berdepan kemerosotan jumlah pembaca media cetak serta peningkatan penggunaan ringkasan yang dijana kecerdasan buatan (AI) sebagai ganti kepada kunjungan ke laman sesawang berita. – Bernama-Anadolu

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top