Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz, Aminuddin dakwa perbuatan derhaka!

Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz, Aminuddin dakwa perbuatan derhaka!

Tindakan barisan Exco kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan disifatkan sebagai suatu perbuatan derhaka.

Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz, Aminuddin dakwa perbuatan derhaka!

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Sinar Harian, Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap Exco yang terlibat dalam tindakan berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, barisan Exco tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Beliau berkata, perkara itu turut ditegaskan melalui keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 13 September 2026 sebelum keputusannya dikeluarkan sehari kemudian.

“Keputusan tersebut antara lain menegaskan semula bahawa proklamasi (penurunan takhta Tuanku Muhriz) itu tidak sah dan terbatal sejak awal,” katanya dalam kenyataan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sebelum ini juga telah menjelaskan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi berkenaan tidak mematuhi proses serta tatacara yang ditetapkan di bawah Perkara 10.

Katanya, kerajaan negeri turut menyatakan bahawa proklamasi itu tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan perubahan pendirian barisan Exco yang sama apabila tujuh hari selepas keputusan DKU, mereka memutuskan bahawa proklamasi berkenaan telah lengkap dan berkuat kuasa.

“Namun, tujuh hari kemudian, barisan Exco yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa.
“Perubahan pendirian ini sukar difahami sedangkan menurut UUTKNS, ahli-ahli Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan berhubung dengan kedudukanTuanku Muhriz,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan DKU yang bersidang pada 13 September 2026 telah membuat keputusan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal.

Malah, katanya, keputusan itu turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau kemudian mempersoalkan kenyataan media yang dikeluarkan barisan Exco pada 16 September 2026 berhubung status proklamasi tersebut.

Menurutnya, kenyataan itu menyebut bahawa proklamasi hanya disempurnakan mengikut Perkara 10(2) selepas Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos 2026.

“Pengumuman yang sama turut menyatakan bahawa seorang pengganti telah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11.
“Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata beliau tidak mengiktiraf pengumuman berkenaan dan tetap berpendirian bahawa Tuanku Muhriz masih merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau turut mendedahkan bahawa dokumen proklamasi berkenaan pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani pada 20 April 2026 ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar.

“Tapi, saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.
“Saya menegaskan bahawa kerajaan Negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak (Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikai) yang terlibat dalam urusan proklamasi tersebut serta menyempurnakannya pada 19 April 2026,” katanya.

Aminuddin berkata, tindakan Mubarak itu dipersoalkan kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong dan perkara tersebut didakwa tidak memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS.

Justeru, katanya, perkara sama tidak sepatutnya dikemukakan semula kepada Menteri Besar yang lain.

Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa Undang Luak Johol telah memberikan kenyataan tidak benar menerusi afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026.

Artikel lain: Takhta Negeri Sembilan berubah? Exco dakwa proklamasi Tuanku Muhriz sah

“Beliau menyatakan bahawa saya hadir dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong dan mendakwa bahawa siasatan penuh dan lengkap sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 10 UUTKNS telah dijalankan dalam mesyuarat tersebut.
“Dakwaan ini merupakan suatu pembohongan yang nyata. Tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan di hadapan saya seperti yang didakwa dan ia merupakan antara sebab saya enggan menandatangani dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu,” tegasnya.

Tambah beliau, tiada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz dan baginda juga tidak pernah diberikan peluang untuk menjawab sebarang dakwaan yang dikemukakan.

“Hal ini merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi,” tambahnya  lagi.

Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)

Scroll to Top