Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggesa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar supaya meletakkan jawatan.
DAP pegang teguh prinsip demokrasi
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Loke menyifatkan, tindakan tersebut wajar dilakukan atas prinsip dan maruah memandangkan kesemua Exco terbabit baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu.
“DAP tetap berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam negara kita.
“Keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja mesti dipertahankan dan tidak boleh dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Foto: FB Anthony Loke
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu yang menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Menerusi kenyataan barisan Exco, keputusan tersebut dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Dalam keputusan sama, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Foto: NST
DAP persoal tindakan Exco
Walau bagaimanapun, perkembangan itu turut mendapat reaksi berbeza apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan keputusan Exco tersebut tidak mempunyai kesan undang-undang dan menyatakan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mempersoalkan tindakan barisan Exco terbabit yang kebanyakannya baru dilantik, malah ada antara mereka belum pernah menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai anggota kerajaan.
“Mereka sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta punca kuasa masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedudukan raja pemerintah negeri.
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta sewenang-wenangnya tanpa proses yang sah menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Tindakan Exco membuat pengumuman sedemikian telah menimbulkan kekeliruan, menggugat tatatertib pentadbiran negeri dan mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Besar,” tegasnya.
Foto: FB Anthony Loke
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu turut mendakwa keputusan Exco mengiktiraf proklamasi serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta merupakan tindakan tidak berasas dari segi undang-undang, malah boleh dianggap sebagai derhaka terhadap raja pemerintah negeri.
Beliau berkata, keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi UUTKNS ataupun ketetapan Dewan Keadilan (DKU).
“Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan Exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Pakatan Harapan, sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian (Diana Azis)

