am@hmetro.com.my
Tawau: Rakaman video berdurasi satu minit lapan saat berkaitan pertemuan isteri Datuk Mat Zaki Md Zain dengan seorang pegawai penyiasat serta tuntutan kos penerbangan dan penginapan, menjadi antara tumpuan keterangan saksi dalam perbicaraan saman sivil RM190 juta membabitkan tujuh bekas pegawai Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Saksi plaintif kelapan (PW8), Datin Kasmimi Hasan, 58, berkata, rakaman yang dibuat ketika pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu mengandungi perbualan dengan pegawai penyiasat yang juga defendan keenam dalam saman berkenaan.
Menurutnya, antara perkara yang disebut dalam perbualan itu ialah: “Kalau suami kamu tidak bersalah, dan dia memang tidak bersalah.”
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa terdapat kenyataan bahawa suaminya akan dibebaskan dalam tempoh “dua kali Hari Raya.”
Saksi berkata, beliau kemudian bertanya sama ada yang dimaksudkan ialah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, yang pada pemahamannya bermaksud suaminya akan dibebaskan dalam tempoh kira-kira setahun.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Zetty Zurina Kamarudin, saksi bersetuju bahawa rakaman itu tidak merangkumi keseluruhan pertemuannya dengan pegawai berkenaan.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan bahawa berdasarkan keseluruhan konteks pertemuan, perbualan itu bersifat semula jadi dan tidak menentukan sama ada seseorang bersalah atau tidak, sambil menjelaskan beliau hanya mahu mendapatkan jawapan daripada pegawai berkenaan mengapa suaminya dituduh.
Dalam perkembangan berkaitan, pesara guru itu turut memberi keterangan mengenai tuntutan perbelanjaan yang ditanggungnya sepanjang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Tawau atau Kota Kinabalu bagi melawat dan memberi sokongan moral kepada suaminya.
Keterangan berhubung rakaman video dan tuntutan perbelanjaan itu diberikan ketika saksi selesai memberi keterangan dalam tuntutan sivil berjumlah RM190 juta yang difailkan tujuh bekas pegawai ESSCOM terhadap kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan.
Bagaimanapun, mahkamah turut dimaklumkan bahawa perkara berkaitan rakaman video dan keterangan mengenainya tidak pernah dilaporkan secara rasmi kepada pihak berkuasa.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd
