am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kawasan belukar seluas kira-kira satu hektar di Jalan Kolam Ayer, di sini, dikhuatiri menjadi pembiakan haiwan liar sekali gus mengancam keselamatan pelajar dan guru sekolah berhampiran.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Datuk Shamsudin Baharon berkata, selain sekolah berkenaan, antara sekolah yang terjejas adalah SMK Mohd Khalid di sini.
Beliau berkata, kedua-dua sekolah berkenaan berkongsi padang bagi aktiviti sukaneka yang terletak bersebelahan dengan kawasan belukar itu yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan binatang seperti ular, biawak, musang, monyet, babi hutan dan anjing liar.
Selain menimbulkan gangguan ketika aktiviti sukaneka, katanya, haiwan berkenaan juga dikhuatiri memasuki kawasan sekolah termasuk bangunan sekolah serta kelas.
“Bayangkan ketika sedang mengajar, tiba-tiba kelas dimasuki ular atau musang, ia bukan sahaja membahayakan malah mengganggu sesi pembelajaran.
“Adakah kita harus menunggu sehingga ada kejadian serius berlaku kerana usaha bagi membersihkan kawasan belukar itu mungkin memakan perbelanjaan besar dan kami berharap kerajaan negeri membantu warga sekolah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Mohd Khalid, Muhammad Alfian Baba berkata, kewujudan pokok besar turut dibimbangi mengancam keselamatan guru dan pelajar.
Tambahan pula, katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu termasuk angin kuat dan hujan, pihaknya semakin khuatir soal keselamatan.
“Pokok besar juga menghalang saliran air hingga mengakibatkan air bertakung berhampiran kawasan padang malah pokok berkenaan pernah menghempap pagar dan bimbang asrama sebelum ini. Kami berharap perkara berkenaan diberi perhatian.
“Malah terdapat sarang lebah di pokok berkenaan yang juga berbahaya kepada pelajar yang menggunakan laluan berhampiran,” katanya ketika mengadu permasalahannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Muhammad Naqib Md Ghazali yang meninjau kawasan belukar berkenaan semalam.
Muhammad Naqib berkata, pihaknya menasihati sekolah untuk memberi amaran serta meletakkan papan tanda sesuai di kawasan merbahaya sementara tindakan sesuai dilakukan.
“Berdasarkan tinjauan pada hari ini kami mendapati kerja pembersihan kawasan belukar, penebangan pokok selain kerja menaiktarat beberapa kemudahan perlukan dijalankan. Isu berkenaan akan diusul bagi tindakan dalam tempoh terdekat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




