am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Seramai 100 pelajar sekolah daripada keluarga B40 Parlimen Teluk Intan, dipilih sebagai anak angkat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi Program Anak Angkat Menteri KPKT 2026.
Kor Ming berkata, program bimbingan itu merangkumi pembangunan sahsiah dan motivasi, dengan matlamat membantu mereka mengenal pasti kebolehan diri dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, program anak angkat adalah satu daripada tiga segmen utama Program Nekad Kecemerlangan MADANI (NKM), Karnival Santuni MADANI @ Teluk Intan 2026, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, saringan pemilihan anak angkat dilaksanakan pelbagai pihak termasuk KPKT, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak dan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak.
Katanya, pendekatan itu penting untuk membina keyakinan, memperkukuh potensi dan memastikan kekangan latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan mereka,” katanya pada ucapan perasmian program di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Horley Methodist, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti, Zulkeflee Sulaiman; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Mohd Faizal Md Kasim; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak, Mohd Fadhli Mohamad Yusuf.
Kor Ming berkata, menerusi program NKM itu juga, KPKT menyempurnakan program Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2026 menerusi penyerahan projek menaik taraf Anjung Digital SMK Horley Methodist bernilai RM100,000.
Beliau berkata, projek diterajui Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) membabitkan penyediaan peralatan pembelajaran digital moden bagi menyokong keperluan pendidikan berasaskan teknologi.
Katanya, NKM turut membabitkan Program Kecemerlangan Akademik 2026, memberi bimbingan kepada 1,144 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 166 calon Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) Parlimen Teluk Intan.
Program enam minggu bermula 7 September hingga 15 Oktober ini, membabitkan 12 sekolah daerah Hilir Perak, dengan calon SPM diberi perhatian khusus kepada subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, serta pengukuhan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Kor Ming berkata, Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Pasir Damar turut menyumbang RM120,000 bagi tujuan baik pulih beberapa fasiliti dan kemudahan di sekolah sama.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM200 setiap seorang kepada semua 600 pelajar sekolah itu, membabitkan peruntukan RM120,000, bagi meringankan beban memperoleh bahan pembelajaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




