am@hmetro.com.my
Melaka: Pesara tentera berpangkat koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, daripada 17 pertuduhan, termasuk 15 kes mencabul seorang rekrut lelaki di Kem Terendak pada 2023.
Majistret Uthman Abd Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 38.
Menurutnya, tarikh dan masa bagi setiap pertuduhan tidak dinyatakan secara spesifik, menyebabkan kes pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan pengadu yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1).
“Mahkamah mendapati SP1 tidak mengingati tarikh kejadian, sedangkan pendakwaan mendakwa 15 kesalahan berlaku antara Ogos hingga Oktober 2023.
“SP1 hanya mengingati satu tarikh iaitu 14 Oktober 2023 selepas dirujuk kepada laporan polis,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkasnya di akhir kes pendakwaan, hari ini.
Uthman berkata, terdapat percanggahan antara laporan polis SP1 dengan keterangannya di mahkamah, khususnya mengenai tindakan tertuduh selepas kejadian pada 14 Oktober 2023.
Katanya, mahkamah turut mendapati keterangan berkaitan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan mengandungi percanggahan antara saksi pendakwaan antaranya dakwaan tertuduh memukul SP1 menggunakan kayu penyapu dan menendangnya di dada pada 15 Oktober 2023.
Menurutnya, keterangan beberapa saksi mengenai kejadian itu berbeza antara satu sama lain, termasuk sama ada SP1 dipukul di kepala, kayu penyapu patah dan sama ada berlaku pendarahan.
“Bagi pertuduhan ke-17 pula, terdapat percanggahan mengenai kehadiran saksi lain di tempat kejadian.
“SP1 pada awalnya menyatakan terdapat saksi lain, namun selepas laporan polis dirujuk, beliau berkata hanya dirinya dan tertuduh berada di lokasi berkenaan,” katanya.
Uthman berkata, walaupun SP1 mengalami trauma dan kemurungan susulan hubungannya dengan tertuduh, kes pendakwaan masih dipenuhi percanggahan dan keraguan munasabah serta tidak disokong bukti yang mencukupi di sisi undang-undang.
Mahkamah akhirnya memutuskan Mohd Amanah dilepas dan dibebaskan daripada 17 pertuduhan kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin, manakala tertuduh diwakili peguam S Daniel.
Ketika ditemui selepas prosiding, Mohd Amanah kelihatan sebak dan bersyukur atas keputusan mahkamah itu yang membersihkan namanya daripada kes yang disifatkan suatu fitnah.
“Selama dua tahun empat bulan, memang saya kecewa kerana difitnah. Sebab itu saya nak lawan kes ini sebab tahu saya difitnah olehnya (pengadu) tanpa bukti,” katanya.
Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Media pada 15 Mac 2024 melaporkan tertuduh didakwa kali pertama di mahkamah atas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul seorang rekrut tentera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




