Tamatkan penantian 36 tahun, The Golden Tigers bakal terima RM10,000 seorang!

Tamatkan penantian 36 tahun, The Golden Tigers bakal terima RM10,000 seorang!

Penantian 36 tahun skuad sepak takraw negara untuk kembali meraih emas regu berpasukan Sukan Asia akhirnya berakhir, malah kejayaan itu turut hadir bersama ganjaran lebih lumayan buat para pemain.

Habuan selepas berjaya raih emas

Memetik laporan daripada Harian Metro, setiap pemain skuad negara bakal menerima habuan RM10,000 selepas berjaya menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Arena.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Redzuan menyatakan, jumlah ganjaran tersebut dinaikkan daripada RM7,000 selepas mengambil kira kejayaan luar biasa pasukan negara.

Foto: FB Mohd Sumali Reduan

Semua setuju imbuhan dinaikkan

Menurutnya, keputusan itu dipersetujui semua ahli majlis PSM sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan serta perjuangan pemain yang berjaya menamatkan penantian panjang negara.

“Ganjaran untuk mereka memang ada, ikut pusingan, tetapi selepas mereka menang tadi, saya rasakan kami patut naikkan ganjaran ini dan semua ahli exco bersetuju,” kata Sumali.

Kejayaan tersebut menyaksikan skuad sepak takraw negara kembali menjejak podium tertinggi Sukan Asia dalam acara regu berpasukan selepas kali terakhir melakukannya pada edisi Beijing 1990.

Lebih menarik, skuad negara kini turut mempunyai identiti baharu apabila secara rasmi diberikan nama jolokan “The Golden Tigers” susulan kejayaan mencipta sejarah di Aichi-Nagoya.

Sumali berkata, idea tersebut tercetus selepas mengambil inspirasi daripada beberapa pasukan negara yang sudah mempunyai gelaran tersendiri seperti Harimau Malaya dalam bola sepak dan Speedy Tigers dalam hoki.

“Ramai yang tanyakan kepada saya sebelum ini, termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apakah nama jolokan kepada skuad sepak takraw negara?
“Bola Sepak ada gelaran Harimau Malaya, manakala Hoki pula dipanggil Speedy Tiger, jadi saya dapat idea dan hari ini kita sepakat memanggil skuad sepak takraw negara dengan nama The Golden Tigers,” katanya lagi.

Daripada penantian 36 tahun kepada ganjaran RM10,000 seorang, kejayaan di Aichi-Nagoya pastinya menjadi satu lagi detik manis buat The Golden Tigers.

Sumber: Harian Metro (Helmi Talkah)

Scroll to Top