Tiada pihak boleh bertindak unilateral langkaui bidang kuasa – Saifuddin Nasution

Tiada pihak boleh bertindak unilateral langkaui bidang kuasa – Saifuddin Nasution

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik perlu dipertahankan bagi memastikan setiap tindakan pentadbiran negara dibuat mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam urusan pentadbiran negara, prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik mesti sentiasa dipertahankan.

Menurutnya, isu penggantungan tugas serta-merta terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, baru-baru ini menunjukkan kepentingan setiap tindakan pentadbiran dibuat berlandaskan pemahaman jelas terhadap bidang kuasa dan peruntukan undang-undang.

“Ketetapan Bahagian Perlembagaan dan Undang-Undang Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai tinggi berkenaan.

“Asas perundangannya jelas. Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) menetapkan bahawa urusan pelantikan mahupun penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan utama ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Beliau berkata, kejelasan perundangan yang ditegaskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) mencerminkan komitmen untuk memastikan prinsip tatakelola, keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.

“Tiada mana-mana pihak boleh bertindak secara unilateral melangkaui bidang kuasa serta peruntukan perlembagaan yang sudah ditetapkan.

“Dalam pentadbiran negara, setiap kuasa datang bersama batas dan tanggungjawab. Menghormati batas berkenaan adalah asas kepada kekuatan institusi dan keyakinan terhadap sistem pentadbiran kita,” katanya.

Saifuddin berkata, setiap pegawai awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawab mesti dipelihara daripada sebarang tindakan yang tidak melalui saluran serta proses perundangan sewajarnya.

“Kedaulatan undang-undang dijamin. Pentadbiran negara kekal stabil, teratur dan berlandaskan Perlembagaan serta undang-undang.

“Semangat amanah menjadi benteng penting dalam memastikan integriti institusi pentadbiran serta keselamatan perkhidmatan awam terus terpelihara daripada sebarang tindakan yang dibuat tanpa kuasa yang sah.

“Inilah asas sebuah pentadbiran yang kukuh. Kuasa dilaksanakan mengikut undang-undang, institusi dihormati dan amanah kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan pada Selasa lalu sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dilaporkan berkata, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pengganti baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara.

Pada Rabu lalu, media melaporkan, Mohd Zafir tetap menjalankan tugasnya seperti biasa dan tidak terima sebarang surat rasmi berkenaan penggantungan tugas oleh kerajaan negeri.

Beliau juga akur dengan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk terus kekal bertugas di Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top