Iran tawar buka semula Selat Hormuz dalam tujuh hari, Trump tolak cadangan damai

Iran tawar buka semula Selat Hormuz dalam tujuh hari, Trump tolak cadangan damai

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak cadangan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz dan menghentikan pertempuran di rantau itu dalam tempoh tujuh hari.

Trump memberitahu pembantunya bahawa serangan pengeboman dijangka akan disambung semula selepas pilihan raya kongres pada November, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat yang memetik pegawai AS yang tidak dinamakan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, memberitahu wartawan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat bahawa Iran menyampaikan pelan damainya kepada AS melalui pengantara Qatar.

Beliau berkata, persetujuan akan memulakan kiraan detik tujuh hari untuk membuka semula selat itu dan menghentikan pertempuran di rantau berkenaan.

“Jika pihak AS benar-benar serius untuk mencapai persetujuan dan membuka semula Selat Hormuz, segala-galanya kini sudah tersedia,” kata Araqchi.

Seorang pegawai AS sebelum ini memberitahu Reuters bahawa AS dan Iran sedang mengadakan “perbincangan positif dan membina melalui pengantara.” Namun, Trump secara tertutup meragui Iran akan memenuhi tuntutannya, menurut laporan WSJ.

Trump memberitahu kakitangannya bahawa beliau menjangkakan kempen pengeboman akan disambung semula, lapor akhbar itu.

Reuters belum dapat mengesahkan laporan berkenaan.

Usaha diplomatik yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung PBB di New York menyerlahkan kepentingan global konflik yang berlarutan selama tujuh bulan itu.

Peperangan berkenaan menjejaskan aliran minyak melalui salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, selain mengheret kuasa serantau dan dunia ke dalam konflik.

Jika AS bersetuju, pihak yang berperang boleh memulakan rundingan lebih luas “mengenai perkara yang dipersetujui bersama”, kata Araqchi.

Tehran akan membuka semula Selat Hormuz dan pertempuran akan dihentikan di semua medan, termasuk Lubnan. Sebagai balasan, pelan itu menghendaki AS menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran, membebaskan dana Iran yang dibekukan serta mengetepikan sekatan minyaknya.

Kembali kepada diplomasi?

Cadangan Iran yang menetapkan tempoh tujuh hari itu dikemukakan selepas beberapa usaha diplomatik sebelum ini gagal menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari susulan serangan AS dan Israel.

Sejak itu, peperangan silih berganti antara tempoh jeda dengan serangan baharu, mengorbankan ribuan orang, melemahkan keupayaan ketenteraan konvensional Iran serta memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu yang sudah sedia tenat.

Iran dan sekutunya bertindak balas dengan meluaskan konflik ke seluruh rantau. Iran menyerang sekutu AS di Teluk menggunakan dron dan peluru berpandu, manakala sekutunya, Houthi, di Yaman menyasarkan kepentingan Arab Saudi.

Pejuang di Iraq yang bersekutu dengan Iran dipersalahkan atas serangan terhadap saluran paip yang menyebabkan bekalan minyak Arab Saudi di pasaran berkurangan buat sementara waktu.

Pada masa sama, Hizbullah yang disokong Iran terus bertempur dengan tentera Israel di Lubnan.

Ketika kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dan diiktiraf masyarakat antarabangsa berdepan serangan pejuang Houthi yang mempunyai hubungan dengan Iran, selain peluru berpandu Houthi menyasarkan kawasan dalam Arab Saudi, sekutu kerajaan itu bersatu untuk menunjukkan sokongan.

Pegawai pertahanan Turkiye dan Pakistan, yang kedua-duanya rakan Arab Saudi dalam pakatan pertahanan bersama, bertemu di Riyadh pada Jumaat bagi menilai situasi keselamatan serta membincangkan kerjasama risikan, penyelarasan ketenteraan dan penyepaduan pasukan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Arab Saudi.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas menteri luar Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye mengadakan pertemuan dalam kerangka Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah.

Keganasan di Yaman mencetuskan krisis kemanusiaan baharu, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, yang melaporkan peningkatan kes kekurangan zat makanan akut dalam kalangan kanak-kanak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top