Tuah kerepek keledek 2 warna, CWP terima rekod Asia dan ASEAN | Harian Metro

Tuah kerepek keledek 2 warna, CWP terima rekod Asia dan ASEAN | Harian Metro

Kuala Lumpur : Bermula daripada kenangan menikmati semangkuk pencuci mulut ubi keledek pada zaman kanak-kanak, siapa sangka ilham itu akhirnya membawa syarikat tempatan melakar sejarah di peringkat Asia dan ASEAN.

CWP Food Manufacturing Sdn Bhd (CWP) membuktikan hidangan tradisional ubi keledek mampu diberi nafas baharu apabila produk ‘Double Triple Sweet Potato’ keluaran mereka diiktiraf sebagai snek ubi keledek halal pertama yang menggabungkan dua varieti warna dalam satu kepingan kerepek.

Pengiktirafan Rekod Asia dan ASEAN itu disampaikan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Selain memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), inovasi snek berkenaan turut mengutamakan pematuhan syariah dalam pemprosesan makanan berkhasiat.

Menurut Pengarah Urusan CWP Food Manufacturing Sdn Bhd, Yanice Cheong Ming Yan, kejayaan itu menjadi pemangkin buat syarikat untuk terus meneroka inovasi makanan berasaskan bahan tempatan.

“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami untuk terus bergerak ke hadapan tanpa melupakan akar tradisi, kerana kami mahu generasi seterusnya melihat bahawa tradisi juga boleh berkembang melalui inovasi,” katanya.

Mengulas mengenai penciptaan snek unik itu, Yanice memberitahu idea terbit daripada amalan diet vegetarian keluarganya sejak kecil serta kenangan menikmati pencuci mulut tradisional (tong shui).

“Sejak kecil, kami mengamalkan diet vegetarian dan pada hari tertentu dalam kalendar lunar, pilihan makanan ringan berasaskan tumbuhan agak terhad. Keadaan itu mendorong kami mencari sesuatu yang berbeza.

“Daripada pengalaman menikmati tong shui ubi keledek pelbagai warna, kami terfikir mengapa tidak menggabungkan ubi ungu dan oren dalam satu kerepek supaya pengguna dapat merasai kelebihan kedua-duanya pada masa sama,” katanya.

Produk keluaran CWP kini sudah menembusi pasaran Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, selain dalam perancangan melebarkan sayap ke Jepun dan Filipina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top