Tokyo: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun kerana disyaki melanggar Akta Hukuman Aktiviti Berkaitan Pelacuran Kanak-kanak dan Pornografi Kanak-kanak, lapor Japan Today.
Menurut polis, seorang daripada remaja terbabit yang bekerja sambilan didakwa merakam video berunsur seksual membabitkan seorang gadis berusia 13 tahun sebelum menghantar kepada rakannya yang juga pelajar sekolah menengah menerusi media sosial, Line pada 7 September, awal bulan lalu.
Pelajar lelaki berkenaan kemudian didakwa mengugut untuk menyebarkan video itu dan memeras 1,500 yen (kira-kira RM38.85) dalam bentuk wang elektronik daripada gadis terbabit pada keesokannya.
Dalam pada itu, polis berkata, kedua-dua remaja itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan.
Menurut media sama, gadis terbabit mengenali kedua-dua remaja berkenaan dan kes itu terbongkar selepas dia mendapatkan bantuan polis bersama ibunya.
Susulan itu, polis kemudian menahan kedua-dua remaja terbabit selepas memeriksa telefon mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




