'Captain bawa laju sikit boleh?'

'Captain bawa laju sikit boleh?'

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dear captain pilot, AK5135, captain bawa laju sikit boleh?”.

Demikian permintaan seorang wanita yang hanya mampu berharap penerbangan tidak lewat supaya kakaknya sempat pulang bertemu nenek mereka buat kali terakhir sebelum jenazah dikebumikan.

Namun, permintaan itu langsung tidak diketahui juruterbang Koh Yew Weng, 37, atau Eric yang mengendalikan penerbangan AK5135 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada jam 6 pagi, Selasa lalu.

Eric sebaliknya hanya mengetahui kisah di sebalik penerbangan itu selepas kembali mendarat di Kota Kinabalu pada hari sama apabila secara tidak sengaja menemui hantaran dimuat naik adik kepada salah seorang penumpang.

“Memang tak sangka kebetulan macam ini boleh berlaku. Saya tak tahu pun mengenai hantaran itu ketika kami berlepas.

“Saya hanya nampak hantaran itu selepas mendarat balik di Kota Kinabalu. Bila baca, barulah saya tahu apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Eric berkata, penerbangan itu turut berdepan cabaran apabila operasi landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terganggu akibat kehadiran dron pada hari kejadian.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kawalan trafik udara terpaksa menggunakan operasi landasan secara berbalik iaitu satu arah digunakan untuk berlepas manakala arah bertentangan bagi pendaratan.

Menurutnya, dia bersama pembantu juruterbang pada awalnya menjangkakan penerbangan berdepan kelewatan yang ketara berikutan kekangan operasi landasan itu.

“Bagaimanapun kami dapat melakukan proses ‘pushback’ lebih awal walaupun ketika itu hujan agak lebat. Jadi, walaupun ada kekangan penggunaan landasan, kami tidak mengalami kelewatan panjang untuk berlepas,” katanya.

Eric berkata, kelancaran penerbangan itu akhirnya membolehkan penumpang berkenaan tiba di Kuala Lumpur tepat pada masanya seperti diharapkan keluarganya.

“Saya sudah 10 tahun menjadi juruterbang dan sepanjang tempoh itu memang macam-macam perkara berlaku tetapi kejadian ini antara yang saya rasa sebagai satu kebetulan yang menyentuh hati.

“Ketika kami menerbangkan pesawat, kami langsung tidak tahu ada seseorang yang begitu berharap penerbangan itu tidak lewat,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menjalankan tugasnya dan bersyukur kerana semuanya berjalan lancar pada hari kejadian terutama selepas mengetahui penumpang itu sempat melihat jenazah neneknya.

Terdahulu, seorang pengguna, @mierazatie memuat naik hantaran di Threads memohon kepada juruterbang penerbangan AK5135 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada jam 6 pagi supaya menerbangkan pesawat dengan segera kerana berharap kakaknya sempat bertemu nenek sebelum jenazah dikebumikan.

Beberapa jam kemudian, Eric membalas hantaran itu dengan memaklumkan bahawa dia ialah juruterbang yang mengendalikan penerbangan berkenaan selain berharap kakak pengguna itu sempat sampai ke lokasi.

Wanita berkenaan kemudian memaklumkan bahawa kakaknya sempat sampai dan mencium jenazah neneknya buat kali terakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top