Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, malam tadi.
Pihak polis tahan seorang remaja
Memetik laporan daripada Berita Harian, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menyatakan, pihaknya telah menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memaklumkan berhubung satu kejadian mendatangkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun.
“Mangsa dikatakan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Foto: Berita Harian
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam
Menurut Alzafny, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam tadi di salah sebuah asrama sekolah di daerah Kuala Pilah.
“Susulan kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan segera mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun.
“Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar terbabit.
Alzafny berkata, PDRM memandang serius sebarang kejadian keganasan membabitkan pelajar, khususnya yang mengakibatkan kehilangan nyawa.
Beliau turut menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Foto: Berita Harian
Sumber: Berita Harian (Ahmad Hasbi)




