KJH bukan sekadar hiburan, platform usahawan perkasa perniagaan

KJH bukan sekadar hiburan, platform usahawan perkasa perniagaan

am@hmetro.com.my

Miri: Karnival Jom Heboh (KJH) bukan sekadar pentas hiburan, sebaliknya berperanan membuka ruang lebih luas kepada usahawan untuk mengetengahkan produk kepada ribuan pengunjung.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat berkata, penyertaan pelbagai usahawan dan agensi menerusi reruai pameran KJH memberi peluang kepada mereka memperkenalkan produk, membina jaringan serta mengembangkan perniagaan.

“Kita dapat lihat pelbagai ‘booth’ usahawan dan agensi yang turut serta dalam pameran ini. Ini peluang yang baik untuk usahawan memperkenalkan produk mereka, terutama bagi mereka yang ingin pergi lebih jauh.

“Pada masa sama, ia juga boleh memberi inspirasi kepada mereka yang mempunyai niat untuk menjadi usahawan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke reruai pameran, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran acara berskala besar seperti KJH turut memberi peluang kepada usahawan berinteraksi secara terus dengan pengunjung, sekali gus memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran lebih luas.

KJH yang berlangsung di Miri Boulevard itu menghimpunkan pelbagai aktiviti hiburan, pameran dan penyertaan usahawan, dengan kira-kira 160 reruai mengambil bahagian serta sasaran kehadiran sehingga 300,000 pengunjung sepanjang penganjuran.

Karnival itu kembali diadakan di sini selepas beberapa tahun, sekali gus menghidupkan semula kemeriahan acara berkenaan di bandar raya ini menerusi gabungan hiburan, aktiviti komuniti dan peluang perniagaan.

Selain menjadi tarikan kepada pengunjung, penganjuran KJH turut memberi peluang kepada usahawan dan peniaga memperkenalkan produk, menarik pelanggan baharu serta memperluas jaringan perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top