mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya amat bersyukur dan bangga bila Datuk Awie beri peluang beraksi dalam konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka baru-baru ini.
“Maklumlah saya masih baru dalam muzik dan dapat peluang begini besar. Alhamdulillah saya dah berikan persembahan yang terbaik pada malam itu.” Demikian kata pemain dram wanita berbakat besar, Naimi Daini.
Gadis cilik berusia 20 tahun ini mendapat pujian ramai apabila berjaya menyesuaikan diri dan membentuk keserasian dengan pemuzik berpengalaman konsert terbabit.
Naimi berkata, ini rezekinya dan setiap orang mempunyai pendapat tersendiri untuk bekerja dengan mana-mana sahaja pemuzik.
“Saya tak peduli apa kata orang dan ambil yang baik sahaja. Kalau kita tak diberi peluang ini, siapa lagi yang nak bagi? Saya amat hargainya.
“Saya sekarang banyak terbabit dengan session bersama kakak. Saya pun ada kawan-kawan, dalam muzik dan sekarang ada plan nak buat sesuatu.
“Cuma ia belum boleh diteruskan lagi. Ia plan saya dengan kawan-kawan ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan),” katanya.
Menurutnya anggotanya bercampur jantina dan bukan wanita sahaja.
“Saya nak main genre rock dan boleh jadi fusion juga. Tapi saya lagi terbuka kepada fusion. Kalau boleh saya nak keluarkan single itu tahun depan.
“Saya belum boleh cipta lagu, namun saya boleh menyanyi sikit-sikit. Tapi kalau ada sesi mencipta lagu, saya akan cuba ikuti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




