nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Guru perlu berhati-hati dan membuat penilaian terhadap kandungan dikongsikan di media sosial bagi memastikan ia memberi manfaat kepada pelajar dan warga sekolah.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata penggunaan media sosial mampu memberi manfaat sekiranya digunakan dengan baik, namun boleh membawa keburukan jika disalahgunakan.
“Penggunaan media sosial diibaratkan seperti pisau yang mempunyai dua mata. Ia akan memberi manfaat sekiranya digunakan dengan baik.
“Namun, ia juga boleh membawa keburukan jika disalahgunakan. Justeru, guru perlu berhati-hati dan membuat penilaian supaya apa yang dipaparkan melalui media sosial memberi kebaikan kepada pelajar dan warga sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata, terdapat garis panduan serta etika yang perlu dipatuhi oleh guru.
“Guru adalah golongan profesional yang sedia maklum dan tahu apa yang baik dan tidak sesuai dalam melaksanakan tugas dalam bidang pendidikan.
“Adalah menjadi tanggungjawab guru yang perlu disematkan dalam hati untuk sentiasa mengangkat kualiti bidang pendidikan,” katanya.
Beliau mengulas isu video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru wanita melepaskan angin atau kentut ketika sedang mengajar di dalam kelas.
Apa yang menjadi perhatian dalam video berkenaan ialah hantaran guru itu yang menulis ‘kentut merata dan salahkan budak (pelajar) kerana tiada siapa sangka ia dari guru yang cantik’.
Dalam video itu turut kedengaran kesan bunyi kentut yang disertakan semasa guru berkenaan terkentut sambil mengibas bajunya.
Video berkenaan menerima banyak kecaman daripada warga net yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘merendahkan martabat guru’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




