Menang Pakistan, Carolan tetap kecewa

Menang Pakistan, Carolan tetap kecewa

PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Brendon Carolan kecewa dengan persembahan pemainnya meskipun Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 5-4 dalam aksi Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Kekecewaan Carolan berpunca daripada kelemahan Malaysia mengawal pukulan sudut penalti apabila keempat-empat gol Pakistan dihasilkan menerusi situasi tersebut, dengan kesemuanya disempurnakan Sufyan Khan.

Carolan berkata, barisan pemainnya sudah melakukan persiapan rapi sepanjang tiga bulan bagi memperkemaskan pertahanan pukulan sudut penalti lawan, namun kegagalan mengekang ancaman Pakistan itu amat mengecewakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya gembira untuk para pemain. Saya rasa suku ketiga dan keempat bukan aksi terbaik kami sekali lagi. Kami sudah melakukan banyak persiapan untuk pertahanan pukulan sudut penalti, jadi agak mengecewakan apabila membiarkan pasukan seperti Pakistan menjaringkan begitu banyak gol menerusi pukulan sudut penalti selepas segala usaha yang kami lakukan.

“Bagaimanapun, saya sangat berbangga dengan ketahanan mental pemain untuk bangkit semula dan mendapatkan keputusan seperti itu walaupun kami mungkin tidak beraksi sebaik yang sepatutnya pada suku ketiga dan keempat,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia terus berada dalam persaingan untuk muncul juara Kumpulan B, dengan aksi terakhir menentang China bakal menjadi penentu kedudukan akhir kumpulan.

Carolan berkata, Malaysia tidak boleh mengambil mudah cabaran China yang disifatkannya sebagai pasukan mantap dan pernah memberikan kesukaran kepada skuad negara dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

“Jadi, kami perlu membuat persiapan rapi untuk menentang mereka dan menguruskan perlawanan seperti mana kami lakukan terhadap mana-mana pasukan lawan. Kami perlu menghormati mereka kerana ini cabaran yang berbeza berbanding Pakistan,” katanya.

Menurut Carolan, sasaran utama Malaysia adalah memenangi setiap perlawanan dan menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B bagi mengelak laluan sukar pada pusingan seterusnya.

Dengan India dijangka menguasai Kumpulan A, kemenangan ke atas China amat penting buat Malaysia bagi memastikan kedudukan terbaik dan mengelakkan pertembungan awal dengan gergasi Asia itu.

“Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan. Itu sentiasa menjadi matlamat kami.

“Kami akan fokus kepada proses pemulihan dan memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang China,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top