Dulu raih emas sebagai pemain, kini Ahmad Jais akhiri penantian sebagai jurulatih

Dulu raih emas sebagai pemain, kini Ahmad Jais akhiri penantian sebagai jurulatih

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: 36 tahun bukan tempoh singkat, tetapi buat Ahmad Jais Baharun, penantian itu seakan-akan lengkap sebuah bulatan perjalanan yang bermula ketika beliau masih bergelar pemain dan berakhir dengan dirinya berdiri di luar gelanggang sebagai jurulatih.

Pada Sukan Asia Beijing 1990, Ahmad Jais adalah antara pemain yang membantu Malaysia meraih emas acara regu berpasukan dan menjadi tekong ketika regu negara meraih emas di temasya Hiroshima 1994, ketika acara berpasukan tidak dipertandingkan.

Tiga dekad kemudian, beliau kembali merasai detik sama, cuma kali ini dengan peranan berbeza apabila membimbing anak buahnya menamatkan kemarau 36 tahun untuk emas acara berkenaan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Lebih manis, sejarah itu dilakar selepas Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada final, sekali gus mengembalikan emas regu berpasukan ke dada negara selepas kali terakhir dimenangi pada edisi Beijing 1990.

Bagi Ahmad Jais, kejayaan itu bukan sekadar satu lagi pingat emas dalam koleksi peribadinya, sebaliknya bukti bahawa perjalanan dalam sukan tidak semestinya berakhir apabila seseorang meninggalkan gelanggang.

Ada waktunya, pengalaman dikumpul sebagai pemain menjadi asas untuk membentuk generasi baharu yang mampu membawa bendera negara ke tahap lebih tinggi.

“Pada saya sebenarnya itu bukan tumpuan saya bila pernah menjadi juara Sukan Asia sebagai pemain dan sekarang sebagai jurulatih.

“Yang paling penting sekali saya ingin melihat kejayaan pasukan negara dalam perlawanan akhir kerana ia akan memberikan satu suntikan semangat tambahan kepada pasukan negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Ahmad Jais menegaskan tiada formula rahsia yang digunakan untuk mengubah wajah skuad negara sejak beliau mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada 2023.

Sebaliknya, beliau percaya asas paling penting dalam membentuk pasukan mantap ialah persefahaman antara pemain, barisan kejurulatihan dan persatuan.

“Secara peribadinya, tak ada formula khusus pun. Ia lebih kepada persefahaman di antara pemain, jurulatih dan juga persatuan.

“Itu adalah perkara penting untuk kita membentuk satu pasukan yang mantap dari segi fizikal dan spiritual supaya kita tahu tugas masing-masing, peranan kita dalam pasukan, apa yang perlu dan apa yang tidak,” katanya.

Menurutnya, proses membentuk pasukan turut memerlukan kesediaan untuk ‘menggabungkan’ karakter berbeza dalam kalangan pemain sehingga mereka mampu bergerak sebagai satu unit.

“Kita kena ‘blend’ semua pemain menjadi satu pasukan dan kita kenal pasti pemain untuk letakkan dalam setiap regu supaya mereka dapat mempamerkan prestasi yang bersesuaian dengan perancangan pasukan.

“Itu yang saya praktikkan dengan barisan kejurulatihan dan juga dengan PSM (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia),” katanya.

Pendekatan itu jelas membuahkan hasil apabila Malaysia sejak Ahmad Jais dilantik mula memadam satu demi satu penantian panjang dalam sejarah sepak takraw negara.

Tahun 2024 menjadi antara titik penting apabila Malaysia muncul juara dunia di laman sendiri, termasuk kejayaan meraih kejuaraan regu Piala Dunia selepas 13 tahun menanti.

Lebih membanggakan, Malaysia turut mencipta sejarah apabila muncul juara beregu Piala Dunia buat kali pertama sejak acara itu diperkenalkan 17 tahun lalu, selain merangkul kejuaraan kuadran selepas lapan tahun dan kejuaraan berpasukan selepas 34 tahun.

Momentum itu kemudian dibawa ke Sukan SEA Thailand 2025 apabila skuad negara muncul juara berganda dalam acara regu dan regu berpasukan.

Lebih istimewa, Ahmad Jais turut mengulangi sejarah peribadinya apabila membimbing Malaysia menamatkan kemarau 34 tahun untuk emas regu berpasukan Sukan SEA, penantian yang turut pernah dilaluinya ketika bergelar pemain apabila membantu negara meraih emas dalam acara sama pada Sukan SEA Manila 1991.

Kini, Aichi-Nagoya menjadi satu lagi halaman penting dalam perjalanan itu apabila beliau sekali lagi menjadi sebahagian daripada pasukan yang menamatkan penantian panjang negara.

Namun, bagi Ahmad Jais, kejayaan di Aichi-Nagoya tidak seharusnya menjadi noktah kerana fokus selepas ini adalah memastikan kesinambungan pasukan negara dengan melahirkan generasi pelapis yang mampu mengambil alih tempat pemain sedia ada.

Malah, beliau mahu pemain muda melihat sepak takraw bukan sekadar laluan untuk mewakili negara, tetapi turut mempunyai potensi sebagai kerjaya yang mampu memberikan kehidupan lebih baik.

“Untuk pemain muda, ini adalah peluang terbaik untuk mereka meneruskan kerjaya dalam sukan sepak takraw kerana sepak takraw sekarang mampu memberikan pendapatan agak baik.

“Kalau kita tengok untuk STL (Liga Sepak Takraw) 2026, ramai pemain kebangsaan yang mendapat tawaran puluhan ribu ringgit.

“Jadi, ia sedikit sebanyak boleh memberikan pendapatan dan mampu menaikkan lagi sukan sepak takraw ke peringkat yang lebih tinggi dan boleh memberi satu kepuasan kepada pemain,” katanya.

Baginya, peluang itu perlu disambut dengan kesungguhan kerana pemain muda yang menunjukkan prestasi terbaik mempunyai ruang untuk diserap ke dalam program pelapis kebangsaan.

“Pemain muda perlu menunjukkan prestasi terbaik supaya mereka dapat diserap atau dipilih ke dalam program pelapis kebangsaan yang akan kita mulakan dalam masa terdekat selepas Sukan Asia ini.

“Saya akan turun ke bawah sekali untuk melakukan scouting, penilaian dan sebagainya supaya perancangan PSM untuk pemain pelapis kebangsaan seiring dengan misi dan visi PSM.

“Kita mahu meletakkan pemain muda dalam program kebangsaan mengikut masa yang bersesuaian dan mereka mampu mengikut acuan yang kita akan pattern pemain mengikut perkembangan semasa sukan sepak takraw,” katanya.

Pesanan itu sebenarnya cukup besar maknanya kerana kejayaan sesebuah pasukan tidak pernah bergantung kepada satu generasi sahaja.

Pemain yang menjulang emas hari ini suatu hari nanti akan meninggalkan gelanggang dan tempat mereka perlu diisi oleh pemain baharu yang bukan sahaja mempunyai kemahiran, tetapi keberanian untuk berdepan tekanan di pentas antarabangsa.

“Itu antara perkara perlu kita tekankan kepada pemain muda supaya mereka terus berusaha dan berusaha untuk meningkatkan kualiti ataupun prestasi masing-masing untuk sepak takraw kebangsaan. InsyaAllah,” katanya.

Daripada tekong legenda yang pernah berjuang di gelanggang, beliau kini menjadi individu bertanggungjawab membentuk pemain, mengurus tekanan, menyusun strategi dan memastikan generasi baharu memahami erti memakai jersi Malaysia.

Menariknya, perjalanan Ahmad Jais masih belum selesai kerana beliau kini perlu memastikan anak buahnya tidak hanyut dengan kejayaan apabila acara regu akan bermula esok.

“Semua pasukan inginkan kejayaan bagi acara regu, begitu juga dengan pasukan kita.

“Kita perlu fokus untuk setiap perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu supaya dapat mencapai kemenangan di peringkat kumpulan dulu,” katanya.

Daripada pemain kepada jurulatih, daripada mengejar emas kepada membentuk juara, Ahmad Jais membuktikan seseorang boleh meninggalkan gelanggang tanpa meninggalkan legasi.

Bezanya kali ini, bukan tangannya yang menyentuh pingat emas sebagai pemain, tetapi tangannya membimbing generasi baharu untuk mengangkatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top