Kuala Lumpur : Penyanyi, Azmi Saat, mendedahkan menerima pelbagai tawaran kerja termasuk yang di luar bidang seni.
Azmi atau nama lengkapnya Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, dalam perkongsian di media sosial mengakui menerima tawaran termasuk membaca doa, berkongsi pengalaman hidup, menjadi juri program serta melawak.
“Kebelakangan ini, banyak pula tawaran kerja yang bukan nyanyian. Baca doa untuk majlis, berkongsi pengalaman sebagai pemuzik dan OKU buta, jadi juri dan ada juga yang panggil untuk melawak.” tulisnya.
Menurut Azmi, pada awalnya dia menolak untuk menerima tawaran berkenaan kerana merasakan ia adalah di luar kepakarannya.
Begitupun, pelantun lagu Hanya NamaMu itu mengubah persepsinya untuk terus mencuba meskipun tawaran berkenaan bukan bidangnya.
“Awalnya saya tolak juga. Tapi bila yang bagi peluang itu kata saya boleh buat, rasa macam tak patut pula kalau tak cuba. Jadi, kita cuba sajalah apa yang termampu. Kalau dah cuba tapi tak boleh atau tak minat, tak payah buat lagi.” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




