Johor, Sarawak kekal catat IPU tidak sihat

Johor, Sarawak kekal catat IPU tidak sihat

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Johor dan Sarawak kekal mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 2 petang ini.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan daerah di Johor yang terjejas ialah Pasir Gudang (163); Kota Tinggi (163); Pengerang (160) dan Larkin (154).

Di Sarawak pula hanya di IPD Serian saja mencatatkan kualiti udara tidak sihat iaitu 152.

Sementara itu, 52 stesen lagi merekodkan bacaan kualiti udara pada tahap sederhana (51-100) dan 11 stesen berada pada tahap baik (0-50). Tiada sebarang stesen mencatatkan bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya buat masa ini.

Perubahan positif ini didorong oleh faktor cuaca apabila beberapa negeri mengalami hujan berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menerusi laporan MetMalaysia, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa daerah di Johor, Sarawak dan Sabah sehingga 3 petang ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top