Semua pihak disaran tidak terburu-buru melabel seseorang sebagai penderhaka atau biadab dalam sesuatu pertikaian membabitkan institusi diraja tanpa terlebih dahulu memahami kedudukan sebenar isu berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkaitan kesultanan, adat serta undang-undang tubuh kerajaan negeri perlu diteliti dengan mengambil kira peruntukan undang-undang dan kedudukan setiap institusi.
“Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
“Tugas kepimpinan utama adalah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, sambil memelihara martabat institusi,” katanya, semalam.
Kredit Foto: NSTP/DANISH ROSENI
Walaupun tidak merujuk secara khusus kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan, kenyataan itu dilihat menekankan kepentingan menguruskan sebarang perbezaan berkaitan institusi diraja secara tertib dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perbezaan dalam politik tidak sepatutnya menyebabkan adab terhadap institusi diraja diketepikan, termasuk apabila sesuatu keputusan tidak memenuhi kehendak pihak tertentu.
Beliau turut menegaskan pendirian UMNO untuk terus menjunjung institusi diraja dan tertib Perlembagaan Persekutuan, termasuk berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu seperti yang diperuntukkan.
“Penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal, waima ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak kita.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan, teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya lagi.
Kredit Foto: FB Zahid Hamidi
Dalam perkembangan berkaitan politik, Ahmad Zahid berkata BN akan mengadakan dua pertemuan berasingan dengan dua kumpulan politik pada minggu depan bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Artikel lain: PM Anwar tegaskan Raja tak boleh diturunkan dengan mudah -“Sistem Raja akan pupus!”
Namun, beliau belum bersedia mendedahkan kumpulan yang akan ditemui kerana rundingan itu masih di peringkat awal.
Katanya, ibu pejabat parti sudah menetapkan dua pertemuan pada tarikh serta waktu berbeza bersama dua kumpulan berlainan.
“Minggu depan, ibu pejabat mengaturkan dua perjumpaan berasingan di tarikh dan waktu berbeza, dua kumpulan berlainan.
“Baru nak berbincang, nak dedah macam mana? Bincang dululah,”ujar beliau.
Kredit Foto: Zahid Hamidi
Ditanya mengenai gabungan yang dilihat paling hampir untuk bekerjasama, Ahmad Zahid berkata, keputusan hanya akan dibuat selepas mengambil kira keseimbangan antara mudarat dan manfaat kepada negara serta gabungan berkenaan.
Beliau turut menegaskan segala perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai kerjasama dibuat, dengan pertimbangan turut mengambil kira manfaat untuk jangka sederhana dan panjang.
Sumber: Utusan Online (Amran Mulup)




