am@hmetro.com.my
Segamat: Hampir setiap hari Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah termasuk bunga ganja dari negara ini susulan peningkatan saringan di lapangan terbang.
Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan kes seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia, AKPS diberikan tanggungjawab untuk menyelaraskan saringan bersama pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang KLIA 1 dan 2.
Katanya, sehubungan itu pihaknya meningkatkan saringan di lapangan terbang dan turut mengesan cubaan menyeludup keluar dadah termasuk bunga ganja dari negara ini.
“Sebenarnya hampir setiap hari kita ada menahan, kalau tidak hari pun tiap-tiap minggu, mereka cuba menyeludup bunga ganja keluar daripada negara.
“Kebanyakannya bukan warganegara Malaysia tetapi melibatkan warga asing,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.
Mohd Shuhaily menjelaskan, AKPS turut diberi tiga tanggungjawab utama di lapangan terbang menerusi 17 inisiatif kerajaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan sempadan negara.
“Tiga perkara utama itu ialah mengkoordinasi semua saringan secara bersasar, menyelaraskan semua perihal risikan dan menyelaraskan tugasan K9 di lapangan terbang antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, nilai rampasan dan ketirisan hasil kerajaan yang berjaya ditangani AKPS meningkat hampir tiga kali ganda kepada lebih RM265 juta setakat tahun ini berbanding RM80 juta direkodkan tahun lalu.
Katanya, kes penyeludupan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta dadah antara kes utama yang menyumbang kepada jumlah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




