sukan@hmetro.com.my
Kampar: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuka langkah kanan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 apabila menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia selepas Peringkat 1, hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun itu mengumpul mata menerusi dua zon pecutan untuk mendahului carta Jersi Putih selepas mengharungi perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam ke Kampar.
Aiman menamatkan perlumbaan secara penamat beramai-ramai di tempat ke-70 daripada 119 pelumba keseluruhan, mencatat masa 4 jam 6 minit 53saat (s).
Dia menamatkan zon pecut pertama di Ijok di tempat ketiga dan pertama di zon pecut kedua di Kuala Selangor untuk meraih masa bonus, sekali gus meletakkannya di kedudukan teratas carta Pelumba Terbaik Asia dengan 4:06:49s.
Pelumba Aisan Racing Team, Hijiri Oda berada di tangga kedua dengan catatan 4:06:53s, manakala pelumba Malaysia Pro Cycling, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Jalil yang juga pelumba tempatan terbaik pada peringkat pembukaan, menduduki tempat ketiga dengan catatan sama.
Menurut Aiman, strategi awalnya adalah untuk melakukan pecahan bagi memburu mata di zon pecut, namun dia terpaksa mengubah pendekatan di zon pecutan ketiga di Teluk Intan selepas jarak dengan kelompok hadapan semakin jauh.
“Memang Aiman rancang untuk membuat pecahan dan berjaya mendapatkan mata di dua zon pecut.
“Untuk zon ketiga di Teluk Intan, Aiman tidak mampu untuk teruskan kerana sudah terlalu jauh dengan kelompok hadapan.
“Disebabkan itu, saya perlu kayuh dengan bijak untuk simpan tenaga bagi perlumbaan esok dan fokus kepada peringkat berikutnya,” katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan, hari ini.
Peringkat 2 LTdL 2026 esok menyaksikan peloton berdepan laluan sejauh 145.6km dari Taiping ke Gunung Jerai, yang turut menawarkan cabaran pendakian lebih getir.
Pelumba akan melalui tiga zon pecut di Selama pada kilometer ke-41, Padang Serai dan Aman Jaya, selain dua zon pendakian di Selama pada kilometer ke-53.6 serta Gunung Jerai.
Pendakian Gunung Jerai itu turut mencuri perhatian apabila disenaraikan dalam laluan LTdL buat kali pertama sejak perlumbaan berprestij itu diperkenalkan pada 1996.
Aiman yang juga juara kebangsaan tujuh kali berturut-turut berkata, dia perlu lebih berhati-hati dalam mengurus tenaga bagi menghadapi cabaran pendakian esok.
“Aiman kena ‘simpan kaki’ kerana esok ada peringkat perlumbaan yang mempunyai pendakian agak tinggi.
“Rezeki juga dapat pakai Jersi Pelumba Terbaik Asia. Untuk esok, kita buat perancangan lain pula,” katanya yang memegang tanggungjawab selaku pakar pecut pasukan.
Dalam pada itu, Aiman turut mengharapkan rakan sepasukannya, Kee Zhe Yie mampu memberikan cabaran dalam perebutan Jersi Raja Bukit pada Peringkat 2.
Zhe Yie kini berada di tangga kedua carta Raja Bukit, di belakang pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov.
“Saya pesan kepada Zhe Yie untuk cuba lakukan yang terbaik untuk pasukan. Harap dia dapat melakukan sesuatu untuk pasukan dan dirinya sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




