Lebih enam emas bukan kejutan

Lebih enam emas bukan kejutan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekiranya kontinjen Malaysia meraih lebih daripada enam pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, ia bukanlah pencapaian yang mengejutkan.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia kini berada pada landasan untuk menambah lebih banyak emas kerana beberapa acara yang masih belum bermula turut berpotensi menyumbang pingat.

Katanya, kejayaan tidak dijangka daripada beberapa acara seperti e-sukan dan karate sebelum ini membuktikan peluang Malaysia tidak seharusnya hanya bergantung kepada sasaran awal yang ditetapkan.

“Kalau dapat lebih daripada enam, tidak mengejutkan sebab saya dah beritahu ada beberapa acara bila Sukan Asia ini, selain daripada yang kita sasarkan, akan memberikan keputusan di luar jangkaan.

“Benda itu akan tetap berlaku dalam acara seperti karate dan sukan lain. Kita sudah tengok ada beberapa acara yang memang kita tak jangka itu akan berlaku pada setiap kali Sukan Asia,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Pekan melihat faktor tuan rumah juga boleh mempengaruhi agihan pingat dalam sesetengah acara apabila kecenderungan pengadilan dan kekuatan negara tuan rumah tidak lagi terlalu dominan.

Menurutnya, keadaan itu membuka ruang kepada Malaysia untuk mencuri peluang dalam acara yang sebelum ini sukar dimenangi ketika temasya berlangsung di negara tertentu.

Pekan turut percaya Malaysia mampu memburu tujuh, lapan atau sembilan emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010 yang menyaksikan kontinjen negara meraih sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Tambahnya, sasaran enam emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini adalah praktikal, namun sudah tiba masanya Malaysia berani menetapkan sasaran lebih mencabar bagi mendorong atlet, jurulatih dan pengurusan mencapai prestasi lebih tinggi.

Sensasi skuasy negara, S Sivasangari memenuhi sasaran kontinjen negara apabila meraih emas keenam, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top