Juba: Mohamed Salah tidak akan beraksi untuk Mesir menentang Sudan Selatan disebabkan kebimbangan mengenai permukaan padang perlawanan.
Penyerang Trabzonspor itu tidak berlepas bersama skuad untuk perlawanan mereka di Stadium Juba pada Selasa.
Salah tidak tersenarai dalam skuad perlawanan bagi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bagi mengelakkan daripada mengalami kecederaan di atas padang rumput tiruan.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Juba itu akan dimainkan di atas permukaan rumput tiruan.
Disebabkan faktor permukaan padang terbabit, keputusan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) sebelum perlawanan di mana legenda Liverpool itu tidak akan beraksi.
Pemain berusia 34 tahun itu turun dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Angola yang berakhir tanpa jaringan pada Jumaat ketika pasukannya memulakan kempen kelayakan mereka.
Walau bagaimanapun, beliau tidak akan berada dalam pasukan menentang Sudan Selatan menjelang potensi kemunculan semulanya untuk aksi persahabatan Mesir menentang Afrika Selatan pada 4 Oktober.
Dalam satu kenyataan, EFA mengesahkan keputusan mereka serta menjelaskan sebab di sebaliknya.
Mereka menyatakan ‘barisan kejurulatihan teknikal pasukan kebangsaan Mesir yang diketuai oleh Hossam Hassan sudah memutuskan untuk merehatkan Mohamed Salah bagi perlawanan menentang Sudan Selatan yang dijadualkan pada 29 September disebabkan oleh permukaan padang perlawanan.
“Persetujuan sudah dicapai antara barisan kejurulatihan teknikal pasukan kebangsaan dan Mohamed Salah sebelum perlawanan menentang Angola bahawa beliau tidak akan beraksi menentang Sudan Selatan dan barisan kejurulatihan memilih pendekatan ini demi melindungi pemain terbabit.”
Salah memegang tanggungjawab sebagai kapten pasukan kebangsaan sejak tahun 2019 dan menjaringkan 66 gol daripada 120 penampilan bersama negaranya.
Beliau juga adalah sebahagian daripada skuad mereka di Piala Dunia musim panas lalu yang menandakan kemunculan keduanya di peringkat akhir kejohanan terbabit.
Mesir berharap beliau dapat memimpin mereka merangkul gelaran AFCON kelapan pada saingan yang akan berlangsung di Kenya, Tanzania dan Uganda pada musim panas akan datang.
Namun begitu, mereka belum menambah koleksi kejuaraan sejak tahun 2010, dengan pencapaian terbaik Salah dalam kejohanan terbabit adalah dua kali bergelar naib juara pada edisi 2017 dan 2021.
Selain Angola dan Sudan Selatan, skuad Pharoahs itu juga akan berdepan Malawi dalam kumpulan kelayakan mereka.
Ketiadaan Salah pada Selasa hadir di tengah-tengah permulaan cemerlang dalam kerjayanya di Turki.
Bekas pemain sayap Reds itu menyertai Trabzonspor pada Ogos lalu susulan penghijrahannya dari Anfield.
Beliau menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab itu selepas sembilan musim beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah berjaya menjaringkan tujuh gol dan menyumbang dua bantuan gol dalam enam penampilan liga buat Trabzonspor.
Jaringan terbabit termasuklah hatrik menentang Galatasaray dalam perlawanan terakhir mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




